PUTRAJAYA, LANGKAWI, MERBOK – MANA PUN KAWASAN PILIHAN TUN MAHATHIR, PERDANA MENTERI BARU GANTI NAJIB TETAP AKAN LAHIR DI SITU

Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Mahathir Mohamad kini sudah hampir pasti akan dinamakan sebagai calon Perdana Menteri bagi pertaruhan gabungan itu untuk menyingkirkan Najib Razak dan menumbangkan BN dalam pilihanraya akan datang.
Ia hanya menunggu untuk diumumkan secara rasmi dalam Konvensyen Pakatan Harapan yang dijangka akan diadakan pada awal Januari 2018 mendatang.
Gandingan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri pula ialah Presiden PKR, Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Pemilihan Tun Mahathir itu secara tidak langsung mula menggerunkan UMNO dan BN kerana di antara beliau dan Najib, secara logiknya tidak sukar lagi untuk rakyat membuat pilihan lantaran perbandingannya sudah jadi antara permata dengan kaca.
Susulan itu, jentera propaganda UMNO dan BN sekarang ini mulai menggerakkan usaha memperlekehkan usia Tun Mahathir yang sudah mencecah 93 tahun itu dengan mendakwa ia sebagai langkah ke belakang dan tidak relevan dalam konteks memilih pemimpin untuk menerajui negara.
Soalnya, adakah mengekalkan lagi “kaca yang sudah calar-calar, retak, malah kotor” sebagai pilihan yang tepat dan sangat relevan?
Selain itu, serangan berterusan pemimpin dan jentera mengenai usia Tun Mahathir lebih mengesahkan kebimbangan serta ketakutan mereka.
Jika benar UMNO dan BN tidak tergugat dengan pemilihan Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan, mereka seharusnya gembira dan bersyukur, bukannya menzahirkan perasaan susah hati dan gundah gulana sepanjang masa.
Setelah nama Tun Mahathir hampir disahkan sebagai calon Perdana Menteri, satu lagi perkara yang menimbulkan kebimbangan kepada UMNO dan BN ialah di kawasan mana beliau akan bertanding dalam pilihanraya akan datang.
Oleh kerana sudah dinamakan bakal menjadi Perdana Menteri, Tun Mahathir wajib bertanding dan seterusnya mesti menang dalam pilihanraya akan datang.
Sehingga ini dilaporkan beberapa kawasan menjadi pertimbangan serta intaian untuk ditandingi oleh Tun Mahathir – antaranya Putrajaya, Langkawi atau Merbok.
Ketiga-tiga kawasan tersebut kini diwakili oleh BN – Tengku Adnan Tengku Mansor di Putrajaya, Nawawi Ahmad di Langkawi dan Dr. Ismail Daut di Merbok.
Putrajaya dan Langkawi menjadi pilihan kerana kedua-dua kawasan itu begitu sinonim dengan jasa dan sumbangan besar Tun Mahathir ketika beliau menjadi Perdana Menteri dahulu, meskipun majoriti pengundinya adalah kakitangan kerajaan dan orang-orang Melayu yang kebiasaannya lebih mudah ditekan atau digula-gulakan oleh UMNO dan BN.
Apa macam Ku Nan, sediakah untuk berdepan dengan Tun Mahathir kali ini?
Lupakah Ku Nan bagaimana dalam PRU 13 lalu beliau tercungap-cungap akibat ditentang oleh Husam Musa dan akhirnya kemenangannya banyak disumbangkan melalui kempen saat-saat akhir oleh Tun Mahathir dan Tun Daim Zainuddin, sedangkan kali ini bekas Perdana Menteri sendiri berlawan dengannya?
Kesediaan Tun Mahathir bertanding dengan misi mesti menang di Putrajaya dengan sendirinya akan melonjakkan imej Pakatan Harapan, malah kekalahan BN di kawasan itu akan membunuh moral kerajaan pimpinan Najib secara keseluruhannya.
Apa khabar pula buat Nawawi Ahmad yang diketahui umum selalu tampil dengan idea-idea pelik dan kelakar jika beliau terpaksa berdepan dengan Tun Mahathir yang genius di Langkawi?
Adakah peluh dinginnya sudah mula memercik di seluruh tubuhnya sekarang ini?
Dalam pada itu, satu kawasan lain yang turut mendapat fokus untuk ditandingi oleh Tun Mahathir ialah Merbok, juga di Kedah.
Kawasan ini menjadi pilihan kerana Tun Daim pernah beberapa penggal menjadi wakil rakyatnya , malah salah seorang anak Tun Mahathir, Mokhzani juga pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO di situ suatu waktu dahulu.
Dengan faktor Tun Daim dan Mokhzani pernah berjasa serta masih ada rangkaian penyokong setia di Merbok, di samping kedudukannya sebagai  kawasan yang memiliki pengundi campuran, kelebihan memang nyata berpihak kepada Pakatan Harapan untuk menang dalam pilihanraya akan datang.
Lebih-lebih lagi jika Tun Mahathir sebagai calonnya dan bakal menjadi Perdana Menteri pula, tidak mungkin pengundi Merbok tidak mahu berduyun-duyun memenangkannya.
Apa pun, sama ada di Putrajaya, Langkawi atau Merbok, semuanya adalah kawasan selamat bagi Tun Mahathir, malah di situlah nanti akan munculnya seorang Perdana Menteri bersama Pakatan Harapan yang akan menumbangkan Najib dan mengalahkan UMNO serta BN.

Kunci PRU 14 akan datang mudah saja, rata-rata pengundi sudah bosan serta meluat dengan Najib dan mereka hanya menunggu kertas undi untuk menzahirkan perasan itu.

– shahbudindotcom.blogspot.m

.