PUTRAJAYA ARAH BEKU PROJEK PEMBANGUNAN MEWAH

Kerajaan persekutuan dilapor telah memohon penangguhan ke atas beberapa jenis pembangunan hartanah mewah di Kuala Lumpur, menurut laporan yang diterbitkan EdgeProp.my semalam

Merujuk surat yang dilaporkan dikeluarkan oleh kabinet, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diarah berhenti mempertimbang atau meluluskan projek pembangunan kompleks beli-belah, pejabat, pangsapuri dan kondominium mewah berharga RM1 juta ke atas di ibukota berkuatkuasa 1 November.

Perkara ini ekoran lambakan hartanah sedemikian di pasaran.

Menurut laporan itu, permohonan sedia ada – termasuk pengubahsuaian plan bangunan yang sudah menerima  kelulusan pembinaan – perlu mendapat kebenaran sebelum Januari 2018.

Laporan itu memetik Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mengesahkan kandungan surat tersebut dan berkata pembekuan itu mungkin dikuatkuasakan antara satu hingga tiga tahun bergantung keadaan pasaran.

Dalam laporan berasingan New Straits Times hari ini, Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilaporkan berkata, kabinet membuat keputusan itu selepas meneliti laporan Bank Negara yang diterbitkan pada Jun berkenaan lambakan hartanah di pasaran.

“Ini cuma sementara sehingga kita boleh bersihkan bekalan berlebihan.

“Terdapat ketidakseimbangan ketara antara bekalan dan permintaan dan kita perlu mengkaji semula strategi pembangunan hartanan kerana kita tidak mahu mengakibatkan situasi yang akan menjejaskan ekonomi,” katanya dipetik sebagai berkata.

Beliau menambah, pembekuan itu akan dilaksanakan sehingga permintaan terhadap hartanah mewah meningkat.

Berbeza seperti laporan EdgeProp.my, laporan NST itu tidak menyebut kategori hartanah yang dikenakan penangguhan itu.

Bagaimanapun, Johari berkata kerajaan akan terus menggalakkan pembangunan rumah mampu milik terutama yang berada di bawah harga RM300,000 seunit.

“Dalam sektor berkenaan, terdapat ketidakseimbangan dari 48 peratus permintaan untuk rumah mampu milik dan penawaran hanya 28 peratus daripada jumlah itu.

“Perkara ini perlu ditangani dengan segera,” katanya.

– M’kini

.