PUJIAN DR. MAHATHIR KEPADA DAP IBARAT MELUDAH KE LANGIT

ALOR SETAR 24 Dis. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kini seolah-olah ter­desak menyakinkan rakyat Ma­­­laysia terutamanya orang Me­layu sehingga sanggup menjatuhkan maruah sendiri dengan mencanang kebaikan DAP yang tidak bersikap perkauman dalam program-program anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Pengerusi PPBM itu meng­akui pujian terhadap DAP tersebut bagaikan meludah ke langit sekali gus menjelaskan panda­ngan serta kritikan kepada parti yang disifatkan mengamalkan perkauman tebal suatu ketika dulu adalah tidak benar sama sekali.

Bukan sahaja memburuk-burukkan MCA malah Mahathir di hadapan kira-kira 1,000 orang yang majoriti orang Melayu sanggup menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah individu yang mahu membangkitkan sentimen perkauman.

“Baru-baru ini saya menghadiri perjumpaan DAP dan saya duduk di sebelah Lim Kit Siang. Saya terkejut semua ucapan dalam Bahasa Kebangsaan, Bahasa Melayu… lagu parti dalam Bahasa Melayu.

“Rupa-rupanya dalam DAP ini bukan sahaja ada orang Cina tetapi juga orang Melayu dan India. Malah mereka buat kenya­taan secara terbuka bahawa DAP memyokong dan mendukung Perlembagaan Malaysia.

“Saya dulu pengerusi BN (Barisan Nasional) dan setiap kali mesyuarat agong saya perhati parti macam MCA tak guna Bahasa Melayu jadi MCA lebih Cina daripada DAP. MCA untuk orang Cina sahaja sedangkan DAP lebih terbuka kepada semua (kaum),” katanya dalam program Bicara Rakyat di sini semalam.

Menurutnya, Kit Siang me­ngakui orang Cina sebagai kaum minoriti tidak mungkin boleh menjadi Perdana Menteri.

“Tapi Najib kata kalau UMNO kalah, Kit Siang akan jadi Perdana Menteri. Ini cara (Najib) nak bangkitkan perasaan benci dan marah kepada orang Cina,” ujarnya.

– UTUSAN

.