PUAS HATI DENGAN NAJIB? RAJA-RAJA MELAYU DUKACITA DENGAN DR MAHATHIR, KATA SULTAN SELANGOR

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, baginda berasa dukacita dengan tindakan Dr Mahathir Mohamad yang kini memimpin Pakatan Harapan.

Sultan Sharafuddin merujuk tindakan Dr Mahathir yang menentang Umno, walhal parti itu memberi kuasa kepadanya menjadi perdana menteri paling lama dalam sejarah Malaysia.

The Star melaporkan, Sultan Sharafuddin bertitah, kesemua sembilan orang Raja-Raja Melayu turut berdukacita dengan Dr Mahathir semenjak bekas perdana menteri itu kembali aktif dalam politik.

“Untuk membina nama baik sangat sukar, untuk memusnahkannya sangat senang. Dr Mahathir berada di sana selama 22 tahun, bukan atas usahanya sendiri.

“Parti yang meletakkannya di sana dan kini dia mahu musnahkan parti.

“Dia fikir (tempoh pentadbiran selama) 22 tahu itu cukup besar. Dia tidak mahu ada perdana menteri lain yang lebih baik dan dia cuba menekan mereka. Sebab itu saya kata dia ada (sindrom) inferiority complex,” titah baginda seperti dilaporkan The Star.

Dalam wawancara dengan akhbar berbahasa Inggeris itu, baginda membangkitkan mengenai kemurkaan apabila negarawan itu mengaitkan Perdana Menteri Najib Razak dengan keturunan “lanun Bugis”.

Baginda menjelaskan, kenyataan balasnya ke atas Dr Mahathir hanya dibuat selepas tiga minggu, selepas mendapat pandangan pelbagai pihak.

“Saya sedang dalam perjalanan menunaikan umrah apabila diberitahu mengenai kenyataan itu.

“Saya tidak bertindak membuta-tuli. Saya tunggu hingga kembali dan bercakap dengan pelbagai pihak yang ada di sana dan tahu apa sebenarnya yang berlaku.

“Saya hanya bercakap selepas itu,” kata Sultan Sharafuddin yang berketurunan Bugis.

Baginda merujuk kenyataan Dr Mahathir yang pada 14 October yang menimbulkan persoalan sekiranya Najib berasal dari keturunan “lanun Bugis”.

Kenyataan itu meraih pelbagai kecaman, termasuk Dewan Diraja Selangor yang menuntut agar polis menyiasat Dr Mahathir bawah Akta Hasutan kerana menimbulkan kebencian ke atas keturunan Bugis, selain masyarakat Bugis termasuklah Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla.

Dalam wawancara tersebut, Sultan Sharafuddin juga menjelaskan bahawa titahnya itu bukanlah satu tindakan balas dendam, atas tindakan Dr Mahathir yang meminda perlembagaan untuk mengehadkan kuasa Raja-Raja Melayu pada tahun 1980-an.

Sebaliknya, ia bagi menunjukkan bahawa baginda masih belum dapat melupakan rasa tersinggung oleh Raja-Raja Melayu akibat tindakan itu.

“Semua akhbar menghentam kami. Saya sangat dukacita, saya bertanya ayahanda saya, kenapa kita tidak boleh bertindak balas?

Saya tidak pasti mengenai Raja-Raja Melayu lain, tetapi ayahanda saya kata jangan, kita tidak boleh dedahkan apa yang dia buat pada kita, jadi kami berdiam diri,” titahnya.

Mengenang kembali pesanan tersebut, Sultan Sharifuddin berkata ayahandanya berpesan: “Hari ini hari dia, esok hari kita”.

Bagaimanapun, Dr Mahathir mengulangi beliau tidak pernah menghina komuniti Bugis dan kenyataannya itu hanya ditujukan kepada Najib kerana mencuri dana milik rakyat Malaysia.

– https://www.themalaysianinsight.com

.