PUA: TIADA APA PERLU DIBANGGAKAN NAJIB DENGAN KEKUKUHAN RINGGIT

Tiada apa yang perlu dibanggakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung kekuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kata Ketua Publisiti DAP, Tony Pua.

Beliau mengingatkan bahawa selepas pilihan raya umum yang lalu, ringgit diniagakan pada RM2.98 berbanding dolar AS berbanding nilai semasa pada RM3.90.

“Ini bermakna sepanjang tempoh 5 tahun pentadbirannya, ringgit jatuh hampir 31 peratus sehingga hari ini.

“Menteri kewangan dan perdana menteri memilih untuk mempersendakan prestasi ekonominya selama tiga bulan lalu sedangkan sepatutnya beliau harus menilai dirinya selama tempoh lima tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas ucapan Najib di perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya
pada Isnin lalu yang berkata ringgit kini menjadi antara wang yang memiliki prestasi terbaik di dunia setelah melepasi ‘rintangan psikologi’ RM4 pada 5 Januari tahun ini.

Menurut Najib, kekukuhan nilai ringgit adalah kerana kenaikan harga minyak, dan peningkatan keyakinan pelabur terhadap dasar Malaysia.

Bagaimanapun, Pua berkata ringgit mula diniagakan lebih daripada RM4.00 bagi setiap dolar AS pada tahun 2015, ketika skandal 1MDB menjadi berita utama dan merosakkan keyakinan pelabur.

“Tidak ada apa yang patut dibanggakan oleh perdana menteri kita, yang pernah dilabel sebagai menteri kewangan paling buruk di Asia pada tahun 2015, kerana peningkatan kecil dalam nilai ringgit sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

“Sedangkan beliau adalah dalang yang menyebabkan kejatuhan ringgit yang memalukan sejak lima tahun lalu,” katanya.

Ringgit hari ini dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS berikutan minat belian yang muncul semula dalam keadaan prestasi pasaran ekuiti tempatan yang bertambah baik.

Pada 9.00 pagi, ringgit berada pada 3.8970/9000 berbanding dolar AS daripada penutup 3.9135/9165 pada Selasa.