PRU14: UMNO PERLIS TOLAK CALON PAYUNG TERJUN

ARAU – Umno Perlis menolak keras-kerasnya kehadiran calon payung terjun yang ditonjolkan pada saat akhir untuk mewakili parti pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, kata Pengerusinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Beliau menyifatkan pemilihan calon payung terjun tidak adil bagi pemimpin-pemimpin sedia ada yang telah bekerja kuat mempertahankan parti dan mereka pula akan dianggap lekeh oleh rakyat.

“Saya tegaskan bahawa Perlis ‘haramkan’ calon payung terjun. Kita tidak mahu calon yang hanya tunjuk muka pada saat hampir PRU14. Kita sengsara membuat kerja tetapi orang lain datang dan ambil alih. Macam mana nak menang.

“Kita mahu calon yang berupaya menangkan parti, bukan menjadi bebanan. Ramai pandai kritik tetapi tidak buat kerja,” katanya kepada pemberita semasa ditemui pada jamuan Hari Raya Aidilfitri Wanita Umno Bahagian Arau di Pusat Khidmat Umno di Kubang Gajah di sini, hari ini.

Beliau meminta mereka yang berminat menjadi calon mesti rajin dan kuat bekerja untuk parti, diperkenalkan lebih awal untuk dtonjolkan dan mereka juga mesti menghormati pemimpin senior.

“Saya menyasarkan kita menang 100 peratus dengan mempertahankan  ketiga-tiga kerusi Parlimen dan merampas semula dua kerusi Dun yang dimenangi pembangkang pada PRU13, di samping mempertahankan 13 kerusi yang disandang,” katanya.

Mengenai serangan pembangkang terhadap Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Razak, beliau berkata setiap pemimpin Umno harus mampu menangkis setiap serangan dan tidak boleh mendiamkan diri.

“Apabila orang menyerang presiden kita bermakna mereka menyerang parti. Ini bukan hal peribadi lagi. Ini bermakna kita kena tangkis dan jawab apabila Najib diserang. Hanya orang yang tidak reti bahasa sahaja tidak faham hal peribadi dan parti,” katanya.

Beliau berkata BN satu-satunya parti yang mempunyai kekuatan untuk memerintah dan membangunkan  negara ini dibandingkan dengan pembangkang yang seperti ‘cacamarba’ dan tidak tersusun.

Menyentuh calon wanita, Shahidan berkata, Umno Perlis bersedia memberi peluang kepada lebih ramai wanita namun keputusan terserah kepada presiden parti dan kehendak Allah SWT.

– Bernama

.