PRU14: PILIHAN PAS CUMA BN ATAU KEKAL MEMBANGKANG

Pendirian Tun Dr Mahathir serta sikap sinis bekas perdana menteri itu kepada PAS membuatkan parti berkenaan hanya berdepan dua kemungkinan selepas pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pilihan yang ada, kata salah seorang pemimpin kanan PAS – ialah kekal menjadi pembangkang utama atau membentuk kerajaan dengan BN.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata percaturan parti dengan meletakkan sasaran memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi – atau menurunkan calon di 130 kerusi parliman – tidak wajar di pandang ringan.

“Sasaran minimum PAS untuk memenangi 40 kerusi ini jangan diperkecilkan.

“Di samping itu, dengan bertanding 130 kerusi parlimen PAS akan terus berusaha membuat keputusan “upset” sehingga memungkinkan PAS mencapai jumlah kerusi majoriti mudah di parlimen,” katanya hari ini.

Dalam kedua-dua situasi tersebut, Mohd Zuhdi berkata, PAS boleh membentuk kerajaan sama ada secara – jika memenangi 130 kerusi parlimen – atau menyertai kerajaan campuran – dengan 40 kerusi.

Namun kata anggota Jawatankuasa Pusat PAS tersebut, sikap Dr Mahathir memperkecilkan kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang membayangkan bahawa bekas perdana menteri terbabit sudah menutup pintu kepada usaha mendapatkan sokongan parti berkenaan jika Pakatan Harapan (HARAPAN) memerlukan kerusi tambahan di Dewan Rakyat.

PAS selalu jadi kerajaan

Sedangkan kata Mohd Zuhdi setakat ini PAS belum membuat sebarang ketetapan jika berlaku kebuntuan di parlimen apabila tiada mana-mana parti memperoleh kerusi majoriti.

Pilihan yang ada pada waktu itu ialah PAS boleh menyertai BN atau HARAPAN membentuk kerajaan campuran, atau terus menjadi pembangkang yang kuat di parlimen.

“Dengan sikap bongkak Dr Mahathir ini, maka pilihan yang tinggal kepada PAS hanya tinggal dua sahaja, terus kekal menjadi pembangkang utama atau membentuk kerajaan campuran dengan BN,” katanya.

Kenyataan Mohd Zuhdi itu dibuat beberapa hari selepas Dr Mahathir menganggap impian presiden PAS membentuk kerajaan melalui pertaruhan 130 kerusi sebagai “angan-angan Mat Jenin”.

Pada 23 Jan lalu Malaysiakini melaporkan pengerusi HARAPAN itu secara sinis menganggap percaturan Abdul Hadi sebagai “hebat”.

“Saya fikir dalam sejarah PAS, mereka selalu memerintah negara, mereka telah membentuk kerajaan,” katanya.

PAS memilih untuk bertanding dalam PRU ke-14 dengan kumpulan Gagasan Sejahtera bersama beberapa pertubuhan siasah kecil, termasuk Parti Ikatan Bangsa Malaysia.

Pada masa sama empat parti lain membentuk HARAPAN.

Umno atau PAS saja

Kegagalan kedua-dua kumpulan mencari kata sepakat memungkinkan berlaku pertembungan tiga – atau lebih – penjuru dalam PRU ke-14 yang mesti diadakan selewat-lewatnya Ogos ini.

Di atas kertas, usaha mengetepikan BN buat kali pertama dalam sejarah negara hanya cerah jika parti itu dicabar secara satu lawan satu.

Formula itu hampir menjadi kenyataan pada PRU lalu, kecuali di beberapa kerusi yang menyaksikan PAS meletakkan calon sendiri – di Sungai Aceh dan Kota Damansara – walaupun sebelumnya dipersetujui pertembungan adalah secara satu lawan satu.

Sikap PAS itu membolehkan BN memenangi kerusi berkenaan.

Mohd Zuhdi juga berkata keinginan Dr Mahathir menjadi perdana menteri sekali lagi juga tidak akan kesampaian dengan sikapnya terhadap PAS serta realiti semasa di negara ini.

Justeru katanya Dr Mahathir seperti berangan-angan di atas pulau fantasi ciptaannya sendiri.

Menurut Mohd Zuhdi sesebuah parti yang ingin membentuk kerajaan di Malaysia perlu mendapat sokongan majoriti pengundi Melayu.

“Berdasarkan situasi semasa, sokongan majoriti pengundi Melayu hanya datang daripada dua parti terbesar Melayu, iaitu Umno atau PAS,” katanya.

– M’kini

.