PRU14: PERTEMBUNGAN KELUARGA DI PARLIMEN MARANG?

MARANG – PRU14 bakal menyaksikan pertembungan calon yang mempunyai pertalian keluarga di kerusi Parlimen Marang yang disandang Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pertembungan itu pasti mencuri tumpuan apabila Ketua Parti Amanah Nasional (Amanah) Marang, Miqdad Zakaria yang merupakan anak saudara kepada isteri presiden Pas dijangka berdepan Abdul Hadi.

Perkara itu didedahkan Timbalan Ketua Amanah Marang, Suhaimi Sulaiman dan jika benar berlaku, ini merupakan percubaan pertama Miqdad selepas meninggalkan Pas dan menyertai Amanah.

Suhaimi berkata, Pakatan Harapan (Harapan) Terengganu bersetuju untuk meletakkan calon PKR bertanding di Dun Alur Limbat, Bersatu di Dun Pengkalan Berangan dan Amanah di Dun Bukit Payong.

Bagaimanapun, katanya, belum ada sebarang keputusan dibuat untuk meletakkan wakil calon di Dun Rhu Rendang sama ada wakil dari Amanah atau Bersatu yang akan bertanding, jadi ia ditangguhkan dahulu.

“Pertandingan di Parlimen Marang, kita tetapkan Miqdad sebagai calon untuk berdepan dengan siapa sahaja calon Pas di Parlimen Marang. Insya-ALLAH kita tengok setakat ini kita (Amanah) boleh,” katanya.

Walaupun bersaudara, perjuangan dan ideologi politik yang berbeza mungkin membawa mereka ke gelanggang berlawanan dan pastinya pertembungan ini hanya dapat dilihat pada PRU14 sahaja.

Bagaimanapun, Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad ketika dihubungi Sinar Harian menafikan perkara itu kerana pihaknya belum memutuskan senarai muktamad calon.

“Kita belum (putuskan) apa-apa lagi… keputusan kita belum buat lagi. Tunggulah seminggu dua lagi. Setakat ni sudah 70 peratus (siap menamakan calon),” katanya.

Miqdad sendiri ketika ditemui Sinar Harian sebelum ini menegaskan PRU14 bukan medannya untuk bertanding sebaliknya menyertai Amanah kerana mahu mengubah keadaan politik di Marang.

Miqdad yang dipetik berkata, masih terlalu awal untuknya memikul tanggungjawab itu lebih-lebih lagi jika diminta untuk berhadapan Abdul Hadi.

Miqdad Zakaria.

Miqdad sebelum ini pernah menyuarakan kesediannya jika dipilih untuk bertanding pada PRU14 ini.

Untuk rekod Parlimen Marang dianggap kubu Presiden Pas namun mengikut keputusan PRU13 lalu, ia bukanlah kerusi yang benar-benar selamat bagi pemimpin utama parti Pas itu.

Abdul Hadi bertanding di Marang sejak pilihan raya umum ketujuh (1986) dan pernah tewas dua kali kepada calon BN Datuk Seri Abdul Rahman Bakar.

Kerusi paling kuat serta selamat untuk Pas ialah Dun Rhu Rendang yang diwakili Abdul Hadi sejak 1986 dan tidak hairanlah pakatan pembangkang masih belum mahu menamakan calon mereka.

–¬†http://www.sinarharian.com.my

.