PRU14: PERTARUNGAN SEBENAR HANYA ANTARA PAS, BN

BAGAN SERAI – Realiti pertarungan politik sebenar pada PRU14 adalah antara Pas dan BN.

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, pertembungan sengit dijangka berlaku di antara kedua-dua parti itu dalam memenangi undi orang Melayu.

Menurutnya, pertarungan politik sebenar pada PRU14 adalah dalam menentukan parti mana dapat menguasai undi orang Melayu, sekali gus memegang kunci kemenangan.

Katanya, jika berlaku gelombang tsunami politik dalam kalangan pengundi Melayu, beliau yakin mereka akan mengundi Pas yang ada rekod perkhidmatan jauh lebih bersih berbanding BN.

“Rakyat mengetahui sejarah rekod kepimpinan kerajaan Umno bermasalah, malah rekod teraju utama kepimpinan Pakatan Harapan seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad juga teruk.

“Sebaliknya, rekod kepimpinan Pas hingga kini bersih, malah tiada pemimpin parti disabitkan dengan sebarang kesalahan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa termasuk di Kelantan,” katanya pada sidang media Jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Pas Perak, di sini semalam.

– SH

.