PRU14 PENENTU JATUH BANGUN UMNO DAN BN

PILIHAN Raya Umum ke-14 (PRU14) merupakan penentu kepada jatuh bangun Barisan Nasional yang ditunjangi Umno dan ekoran itu semua anggota termasuk Puteri perlu bekerja keras membantu memenangi PRU kali ini, kata Naib Ketua Pergerakan Puteri Umno Zahida Zarikh Khan.

Beliau berkata zaman Umno dan Barisan Nasional (BN) mampu menang mudah pada setiap PRU sebelum ini telah berlalu malahan kini Umno serta BN terus diasak dari pelbagai penjuru.

“Tuntutan rakyat kini juga sangat berbeza dengan yang dahulu, pandangan orang muda kini tidak sama dengan orang dahulu, karekter pengundi juga jauh berbeza kerana terdedah dengan pelbagai media baru yang menjadi pemangkin kepada cara mereka berfikir dan bertindak,” katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan pergerakan puteri Umno Bahagian Silam di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Zahida berkata dalam memenangi undi golongan muda itu anggota Puteri juga perlu seiring malah perlu lebih bijak, matang dan pantas mengawal cara pemikiran dan tindakan pengundi kini.

Dalam pada itu, Zahida ketika ditemui pemberita berkata kira-kira 400,000 anggota Puteri di seluruh negara perlu lebih aktif dalam menjadi agen untuk menangkis serangan musuh dan membantu mempertahankan parti dan presiden.

– Bernama

.