PRU14: NAJIB BERI LALUAN PADA HISHAMMUDDIN?

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin akan memberi laluan kepada sepupunya yang juga Menteri dengan Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri,  untuk menjadi perdana menteri seterusnya sebelum PRU14.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub mendakwa, telahan tersebut dianggap sebagai jalan keluar terbaik bagi Umno sebelum ‘nasi bertukar menjadi bubur’.

“Sekiranya kita berada di sepatu Najib maka mencari jalan keluar adalah pilihan yang terbaik sebelum nasi bertukar menjadi bubur!

“Bagi Najib, isunya sekarang adalah jaminan keselamatan keluarga dan hartanya setelah bersara. Najib tiada pilihan lain melainkan memberikan kepercayaan kepada sepupunya (Datuk Seri) Hishammuddin (Tun Hussein) bagi tujuan tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, skandal 1MDB yang terpalit pada Najib menyebabkan Najib akan mengambil langkah untuk berundur bagi memberi laluan kepada pimpinan baharu.

“Skandal 1MDB dan MO1 telah menjadi “sumpahan berpuaka” bagi Najib dan Umno. Sumpahan ini telah menghantui setiap inci kehidupan Najib dan jalan keluar yang terbaik adalah memberi laluan kepada kepimpinan baru menerajui Umno dan Barisan Nasional.

“Kemungkinan” Najib akan memberi laluan kepada Hishammuddin sebagai PM sebelum PRU ke 14 adalah boleh kita anggap sebagai satu telahan politik yang munasabah. Apa yang penting bagi Umno BN sekarang adalah kelangsungan kuasa. Pakatan Harapan harus bersiap lebih awal dengan penampilan yang menyakinkan, diperkukuh dengan perpaduan mantap keempat-empat parti bersatu di dalamnya,” katanya lagi.

– Sinar Harian