PRU14: MCA OPTIMISTIK MENANG BANYAK KERUSI

KUALA LUMPUR – MCA optimistik sokongan masyarakat Cina kembali meningkat kepada  BN dan parti itu kini dalam kedudukan terbaik memenangi lebih banyak kerusi  Parlimen pada PRU14 akan datang.

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata berdasarkan tinjauan dan maklum balas diterima  di peringkat akar umbi, undi komuniti berkenaan akan kembali bertambah kepada parti itu.

“MCA sedang berusaha keras dan mempunyai pasukan yang mantap, manakala pembangkang  berpecah tanpa visi. Kita sedia menggempur dan memenangi semula kerusi yang kita kalah dahulu,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-64 di Wisma MCA, di sini hari ini.

Sebagai persediaan menghadapi PRU14, beliau berkata MCA memahami keperluan dan kehendak kaum Cina, dan akan melaksanakan pelbagai strategi bagi mendekati mereka terutama golongan muda yang merupakan majoriti pengundi pada pilihan umum akan datang itu.

“Kita mempunyai mekanisme untuk mendekati mereka. Kita mempunyai institusi pendidikan bagi  golongan  muda untuk melibatkan diri mereka dalam pembinaan negara,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu MCA meningkatkan usaha untuk  memenangi  lebih banyak kerusi pada PRU14 dengan  sekurang-kurangnya 15 kerusi Parlimen berbanding tujuh  kerusi pada PRU13.

Beliau berkata tambahan kerusi Parlimen itu perlu bagi memastikan masyarakat Cina terus mempunyai suara dalam kerajaan majmuk BN serta keperluan dan kepentingan mereka terjaga.

Mengenai senarai calon bagi PRU14, Tiong Lai berkata MCA bakal menampilkan muka baharu dan beberapa penyandang akan digugurkan.

Tiong Lai juga mengesahkan beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Bentong yang dimenanginya sejak 1999 pada PRU14.

– Bernama

.