PRU14: MAMPUKAH UMNO-BN TANGANI MEDIA SOSIAL?

Pada 2013, nyata sekali Barisan Nasional (BN) menjadi mangsa perang persepsi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Antara yang terpaksa ditempuhi gabungan parti pemerintah itu adalah dakwaan kononnya kira-kira 40,000 pengundi hantu ‘diimport’ dari Bangladesh selain tentang penggunaan dakwat kekal.

Pensyarah kanan pengajian antarabangsa Universiti Utara Malaysia Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani menulis dalam tesisnya bahawa walaupun media sosial bukanlah faktor penentu dalam keputusan mana-mana pilihan raya, ia jelas memainkan peranan penting dalam memberikan peluang, ruang dan saluran untuk orang ramai atau pengundi berdebat dan terlibat dengan pemimpin politik dan calon.

Beliau berkata pembangkang memenangi kebanyakan kerusi di kawasan bandar dan pinggir bandar di mana kemudahan dan akses Internet melalui jalur lebar dan Wi-Fi adalah lebih baik berbanding di kawasan luar bandar.

Dalam PRU13, Umno muncul sebagai pemenang terbesar dalam kalangan parti-parti yang bertanding, dengan meningkatkan bilangan kerusi Parlimen daripada 79 kepada 88.

Tetapi, parti-parti komponen lain BN yang bertempat di Semenanjung tidak bernasib baik kerana MCA, MIC, Gerakan dan MyPPP masing-masing hanya memperoleh tujuh, empat, satu dan sifar kerusi.

Sebaliknya, parti-parti pembangkang dapat menambah kerusi di kawasan bandar dengan PKR dan DAP masing-masing merangkul 30 dan 38 kerusi Parlimen manakala PAS memperoleh 21.

Bagi PRU14 yang dijangka diadakan dalam beberapa bulan lagi, persoalan besar adalah bagaimana gabungan parti pemerintah dapat menangani segala macam ‘kejutan’ yang dilemparkan pembangkang.

Penganalisis risiko politik Amir Fareed Rahim berkata walaupun BN kelihatan agak ketinggalan dalam media sosial, namun ia dapat menyesuaikan diri dengan baik dan rancak bertindak dalam perang siber.

“Saya melihat peningkatan konsisten BN dalam menangani isu-isu persepsi di semua platform media sosial utama dan aplikasi komunikasi lain… masa ia bertindak balas adalah lebih cepat selain turut mengemukakan fakta bagi menangkis tuduhan dan serangan pembangkang. Namun, masih ada ruang baginya untuk melakukan penambahbaikan,” katanya kepada Bernama.

Seorang lagi perunding risiko Asrul Sani Abdullah Sani berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang menyedari tentang kelebihan media sosial, telah mendorong Umno dan BN untuk menggunakannya.

“Dalam aspek media sosial, saya tidak fikir BN mempunyai kelebihan berbanding pembangkang tetapi ia berjaya melemahkan naratif pembangkang di internet,” katanya.

Amir Fareed berkata untuk mendapatkan sokongan besar daripada pengundi bandar, Umno dan BN perlulah meneruskan naratif yang mampu menyakinkan kumpulan itu.

“Segmentasi teliti mengikut kumpulan umur, lokasi dan tahap pendapatan mestilah dibuat. Dalam erti kata lain, ia adalah sasaran mikro,” katanya.

Satu daripada kumpulan yang perlu disasarkan adalah ‘pengundi boleh dipujuk’ seperti yang dinyatakan Najib dalam ucapan dasar presiden semasa merasmikan perhimpunan agung Umno 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra kelmarin.

Timbalan Ketua Pemuda Umno Senator Khairul Azwan Harun berkata jelas sekali Umno dan BN mempunyai banyak kisah kejayaan untuk dikongsikan berbanding pembangkang.

“Kamilah yang merangka penyelesaian dalam menangani isu-isu seperti perubahan iklim, keselamatan siber, ekstremisme, keselamatan pekerjaan dan banyak lagi. Apa yang pembangkang ada?” soalnya.

– Bernama

.