PRU14 LEBIH AWAL LEBIH BAGUS

KEDUDUKAN ekonomi Malaysia dijangka mampu menunjukkan prestasi lebih baik selepas pertengahan 2018 jika PRU14 diadakan lebih awal.

Walaupun ketika ini pelbagai isu seperti rasuah dan RUU 355 sentiasa jadi perhatian serta perbualan hangat pelbagai lapisan masyarakat, tetapi semua akan berakhir buat seketika selepas berakhir PRU14.

“Seperti kebiasaannya, selepas berakhir PRU, semua orang akan lupakan segala isu politik dan kembali menumpukan perhatian terhadap hal-hal yang lebih penting terutama ekonomi negara.

“Oleh itu, jika PRU14 diadakan pada tahun ini, saya meramalkan ekonomi negara kita akan tumbuh dengan baik mulai pertengahan 2018 dan 2019 pula akan jadi tahun kejayaan untuk seluruh rakyat Malaysia,” kata pakar ekonomi tempatan, Datuk Chua Tia Guan ketika ditemu bual China Press.
Beliau turut yakin sekalipun PRU14 diadakan tahun depan, ekonomi Malaysia tetap mampu bertambah baik dan terus menunjukkan peningkatan sehingga 2019.

Ramai pihak mula membuat ramalan mengenai tarikh PRU14. Tempoh pemerintahan kerajaan BN hanya akan berakhir pada Jun 2018, namun PRU14 boleh dibawa 60 hari kemudian iaitu sehingga Ogos 2018 sekiranya Parlimen tidak dibubarkan pada tarikh yang sepatutnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Malaysia, Datuk Kang Hua Keong berkata, kelembapan pembelian dalam pasaran tempatan adalah berpunca daripada masalah inflasi dan isu rasuah.

“Rakyat sebenarnya tidak begitu yakin terhadap pertumbuhan ekonomi negara. Kejatuhan ringgit di pasaran antarabangsa adalah bukti paling jelas.

“Selain kejatuhan ringgit, gejala rasuah dan kenaikan harga barang turut menyebabkan rakyat semakin rasa tidak yakin dengan ekonomi negara,” katanya.

– SH