PRU14: JOHOR JADI SASARAN PEMBANGKANG

JELEBU – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan terdapat usaha memindahkan pengundi yang sedang dilakukan pembangkang untuk menawan Johor pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Selaku Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab terhadap Jabatan Pendaftaran Negara, beliau mengesan terdapat gerakan memindahkan pengundi sedang dilakukan ke negeri itu.

“Mereka (pembangkang) tumpu perhatian kepada Johor, mereka mahu rampas (Johor). PRU13 mereka sasar Negeri Sembilan (dan) jelas Negeri Sembilan bukan sahaja dapat pertahankan kerusi sedia ada tapi dapat menambah kerusi.

“Untuk Johor saya yakin bahawa walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh pembangkang, dan mereka telah mengenal pasti beberapa kerusi Parlimen dan Dun (untuk ditandingi), saya yakin Johor tetap jadi ‘fixed deposit’ Umno dan BN,” katanya.

Ahmad Zahid, Naib Presiden Umno yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Jelebu di Kuala Klawang di sini.

Turut hadir Ketua Umno Bahagian, Datuk Jalaluddin Alias, Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta Ketua Pemerhati Umno Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata beliau yakin pemimpin dan seluruh anggota Umno di Johor akan terus mempertahankan negeri itu, yang merupakan negeri di mana Umno dilahirkan, pada pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, beliau mahu seluruh anggota Umno dan Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan supaya terus melipatgandakan usaha bagi memastikan kerusi Parlimen dan Dun ditambah manakala majoriti dipertingkatkan, sekaligus membolehkan majoriti dua pertiga dapat direalisasikan pada PRU14.

“Di Negeri Sembilan terdapat 36 kerusi Dun. Tahniah Menteri Besar (Datuk Seri Mohamad Hasan) kerana dapat 22 kerusi manakala 14 dimenangi pembangkang dengan DAP 11 kerusi dan PKR tiga kerusi.

“Apa yang berlaku dalam DAP, PKR dan Pakatan Harapan, saya nak nasihat Mohamad supaya bekerja lebih keras sikit untuk tambah kerusi Dun di negeri ini,” katanya, sambil meminta agar kepimpinan Umno dimantapkan bagi memastikan kemenangan.

Dalam pada itu, timbalan perdana menteri berharap konsep wala’ (taat) kepada parti dan kepimpinan akan terus diperkasa dan dihayati oleh semua anggota, demi memastikan parti terus kukuh.

​​​​​​​“Walau kita dilanda krisis daripada luar, dengan kepimpinan (Perdana Menteri yang juga Presiden Umno Datuk Seri) Najib Tun Razak, kita akan terus berusaha untuk menambah kerusi,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata pihaknya akan mempertimbangkan permohonan Umno Bahagian Jelebu untuk mendapatkan sebuah masjid daerah baharu yang mampu menampung 1,500 jemaah pada satu-satu masa serta lebuh raya dari Kuala Klawang ke Hulu  Langat.

“Tapi ada syaratnya, iaitu mesti bagi naik majoriti Dun dan Parlimen Jelebu dan Dun Chennah (yang dimenangi DAP) dapat dirampas dalam PRU14,” katanya.

Ahmad Zahid dalam pada itu menasihatkan semua anggota bersikap tenang dan tidak cepat melatah dalam menghadapi serangan daripada pembangkang. – Bernama

.