PRU14: Gerakan umum awal lima calon Selangor

KUALA LUMPUR – Gerakan hari ini memperkenalkan lima individu yang bakal diketengahkan sebagai calon Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 di Selangor bagi memberi peluang kepada rakyat membuat penilaian sejak awal, kata Presidennya Datuk Seri Mah Siew Keong.

Siew Keong, yang juga Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, berkata strategi kali pertama yang dilakukan Gerakan itu akan membolehkan rakyat menilai dengan teliti dan memberi peluang kepada calon yang juga penyelaras parti bagi Parlimen dan Dun di Selangor.

Beliau berkata kesemua mereka akan melalui tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum nama mereka dihantar kepada Pengerusi BN.‎

“Kami harap sebelum bulan depan kami dapat hantar biodata dan profil calon kepada SPRM supaya boleh semak untuk dapat pelepasan jika terdapat masalah yang mungkin kita tidak tahu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan‎ Persidangan Perwakilan Nasional ke-45 Gerakan di sini.

Lima calon yang diperkenalkan hari ini termasuk Pengerusi Gerakan Selangor‎, Datuk David Ang Chin Tat bagi kerusi Parlimen Puchong.

Selain itu, bagi kerusi Dun, Naib Presiden Gerakan, Datuk A. Kohilan Pillay diletakkan di Kota Alam Shah; Timbalan Speaker, Syed Abdul Razak Syed Long (Bukit Lanjan); Setiausaha Organisasi Pemuda, Ben Liew Pok Boon (Teratai); dan Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Pemuda Gerakan, Chai Ko Thing (Bukit Gasing).

Siew Keong yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan, berkata kelima-lima kerusi itu merupakan kerusi yang diperuntukkan kepada Gerakan bagi Selangor kecuali kerusi Dun Kota Shah Alam yang dipinjamkan kepada MyPPP bagi PRU13 lalu.

Siew Keong berkata, dengan pengumuman itu beliau berharap pembangkang turut dapat melakukan perkara sama supaya rakyat dapat membuat perbandingan antara calon yang diketengahkan kedua-dua pihak.

Ditanya berkaitan calon yang akan bertanding di kawasan lain, Siew Keong berkata, Gerakan sedang dalam perbincangan dengan MCA bagi memohon menukar kerusi Dun  Tanah Rata di Pahang yang ditandingi Gerakan dengan Dun Ketari yang ditandingi MCA pada PRU13. – Bernama

.