PRU14: GERAKAN TIDAK BIMBANG KERJASAMA PEMBANGKANG

PETALING JAYA – Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, parti itu tidak bimbang dengan kerjasama politik antara Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Menurut Mah, beliau tidak bimbang dengan kerjasama tersebut kerana yakin dengan kemampuan BN menghadapi pilihan raya itu.

“Kerajaan BN lebih fokus dengan keperluan rakyat dan permasalahan mereka.

Pertandingan satu lawan satu adalah baik untuk BN kerana pembangkang masih tidak mempunyai hala tuju yang sama dan masing-masing masih dengan haluan sendiri dan polisi tersendiri,” katanya.

Katanya hala tuju dan pendirian pakatan tersebut masih mengelirukan rakyat, yang mana sebagai contoh mereka masih belum mencapai kata sepakat tentang bakal perdana menteri sekiranya membentuk kerajaan, ditambah lagi polisi pentadbiran yang lain.

Pada 13 Disember lalu, Pakatan dan PPBM memeterai perjanjian persefahaman kerjasama bagi memastikan pertandingan satu lawan satu dengan BN pada PRU14.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan ‘Penebat Bunyi Getah Mesra Alam’ di Subang jaya, dekat sini hari ini.

– Bernama

.