PRU14: AMANAH CADANGKAN ‘BUKU JINGGA’ 2.0

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Salahuddin Ayub berkata, partinya akan mencadangkan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk mengemukakan tawaran besar kepada rakyat seperti dokumen ‘Buku Jingga’ menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Di samping satu manifesto bersama yang akan dikemukan oleh HARAPAN menjelang PRU ke-14 , rakyat mahu melihat satu tawaran baru yang boleh diletakkan harapan baru untuk mengambil alih teraju pemerintahan negara.

“Pengalaman dalam Pakatan Rakyat dahulu membuktikan dokumen tawaran seperti ‘Buku Jingga’ sangat berkesan sehingga menjadi perbualan rakyat sekaligus bahan perbincangan dalam masyarakat. HARAPAN membuktikan bahawa tawarannya lebih baik dan menyakinkan,” jelasnya dalam kenyataan.

Buku Jingga dilancarkan oleh pakatan pembangkang yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP yang ketika itu dikenali sebagai Pakatan Rakyat sebelum PRU 13 adalah pelan induk pentadbiran jangka panjang oleh pembangkang jika berjaya menewaskan BN dalam PRU berkenaan.

Menurut Salahuddin, buku berkenaan sangat berpengaruh kepada rakyat menjelang PRU tahun 2013 itu.

Mengulas lanjut, kata beliau, cadangan tersebut akan diutarakan dalam mesyuarat HARAPAN akan datang supaya satu dokumen yang mengandungi beberapa tawaran dan penyelesaian isu rakyat dapat dikemukan.

“Pimpinan tertinggi HARAPAN hampir setiap hari mengeluarkan kenyataan penting yang sarat dengan idea-idea yang besar dan bernas samada dalam ceramah umum, seminar, diskusi dan pertemuan dengan pelbagai segmen dalam masyarakat.
“Ini perlu dihimpun dan didokumentasikan secara tersusun. HARAPAN juga memiliki ramai indivudu yang memiliki kepakaran dalam pelbagai bidang dan disiplin ilmu yang berkemampuan untuk melahirkan gagasan serta tawaran baru kepada rakyat,” katanya lagi.

Jelasnya, rakyat terutama anak muda sedang menunggu tawaran besar HARAPAN yang munasabah, praktikal dan menyakinkan.

“Isu-isu besar negara seperti tadbir urus negara yang korup, ekonomi yang semakin menghimpit , peluang pekerjaan dan pengganguran yang semakin kritikal, kos sara hidup dan isu keselamatan negara adalah isu-isu besar yang mesti diperjuangkan oleh HARAPAN,” ujarnya lagi.

– M’kini