PRU PENTAS UJI POPULARITI MAHATHIR

KUALA LUMPUR – PRU 14 adalah pentas menguji populariti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kaitan dalam politik di negara ini.

Ahli Majis Tertinggi Umno, Datuk Seri Idris Haron mendakwa, pembangkang beranggapan Mahathir adalah faktor kekuatan dan kemenangan mereka menjatuhkan BN.

“Dahulu mereka bermati-matian nak bunuh Mahathir, sekarang mereka bermati-matian pertahankan Mahathir. Mahathir ini pelik dan saya dah buat kajian terhadap Presiden MCA dari Tun Tan Cheng Lock hingga kepada Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, tak ada seorang presiden MCA duduk bersekongkol dengan DAP.

“Tapi seorang bekas presiden Umno boleh duduk dengan DAP. Dulu kata benci DAP tetapi sekarang boleh duduk bersama,” katanya pada Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah 3.0, semalam.

Katanya, PRU14 adalah ibu segala pilihan raya kerana ia menguji kekukuhan parti komponen dalam BN.

“Ini akan jadi platform kepada generasi Transformasi Nasional (TN50). Ini akan jadi ‘mother and father’ kepada PRU.

“Politik adalah seni serba kemungkinan dan politik itu juga serba ketidaktentuan. Kita perlu tahu bagaimana nak pastikan bahawa Umno yang kita dokong akan terus menerajui kuasa politik di negara ini,” katanya.

– Sinar Harian

.