PRU-14: Program Jelajah 
Gelombang Merah dilancar

JELI  – UMNO Kelantan hari ini me­lancarkan program Jelajah Gelombang Merah bagi menaikkan semangat rakyat negeri ini untuk bersama parti itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan dihadiri lebih 5,000 orang yang lengkap berpakaian serba merah.

Program yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Gemang di sini turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh; seluruh Ketua UMNO Bahagian dan pe­mimpin-pemimpin setempat.

Pelancaran itu merupakan ke­sinambungan daripada program Gelombang Merah terdahulu me­nampilkan kelainan apabila ia diserikan dengan pelbagai aca­ra seperti persembahan kebudayaan, sukan rakyat, aktiviti gotong-royong sebelum diakhiri dengan ceramah berkaitan isu-isu semasa.

Sementara itu, Mustapa dalam sidang akhbar berkata, jelajah Gelombang Merah akan diadakan di setiap bahagian di seluruh ne­geri ini sehingga PRU-14.

Katanya, siri jelajah tersebut diadakan setiap dua minggu de­ngan Machang dan Bachok bakal menjadi destinasi seterusnya selepas ini.

“Konsep kita hendak menaikkan semangat rakyat Kelantan menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN). Siri jelajah ini me­rupakan program kesinambu­ngan daripada program Gelombang Merah terdahulu yang jelas menampakkan kebangkitan rak­yat,” katanya.

Mengulas lanjut Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antabangsa dan Industri berkata, program jelajah Gelombang Merah kali ini dilaksanakan dalam ke­adaan lebih santai bersama rakyat.

Katanya, rakyat kini sudah mula menunjukkan semangat untuk melihat perubahan dan UMNO akan terus berusaha lebih keras lagi untuk tidak mengecewakan mereka.

“Kita tambah baik program Gelombang Merah, kali ini kita adakan di seluruh bahagian. Dahulu hanya diadakan di sesete­ngah kawasan.

“Kita juga mengadakan pelbagai acara lain seperti aktiviti gotong-royong, sukan rakyat, pemeriksaan kesihatan dan persembahan kebudayaan,” jelasnya.

– UTUSAN

.