PRU-14: DAP KEDAH ENGGAN BERI KERUSI

ALOR SETAR – Walaupun bersedia mem­beri laluan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), DAP nege­ri membayangkan parti itu tidak akan melepaskan kerusi yang ditandingi sebelum ini kepada rakan sekutunya.
Sebaliknya, Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew mencadangkan PPBM mahupun PAN mengisi mana-mana kerusi yang tidak ditandingi PKR dan parti itu dalam PRU lepas.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Derga berkata, pihaknya bagaimanapun akan berunding dengan PKR, PAN dan PPBM bagi mencari calon boleh menang sebelum memutuskan soal pembahagian kerusi untuk ditandingi.

“Di Kedah, kita belum berun­ding mengenai pembahagian ke­rusi dengan PKR, PAN mahupun PPBM

“PPBM mahupun PAN bagai­manapun tidak semestinya ber­tanding di kerusi yang DAP dan PKR tandingi pada PRU lalu kerana banyak lagi tempat yang terbuka luas seperti di Tokai dan Merbau Pulas selain Langkawi,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Kok Yew, pihaknya bagaimanapun yakin semua parti dalam pakatan pembangkang yang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada Selasa lalu bersedia berlapang dada berkaitan pembahagian kerusi di negeri ini untuk mencapai kemenangan pada PRU-14.

“Setakat ini, PPBM tidak cakap lagi di kawasan mana mereka mahu bertanding jadi saya tidak boleh ulas lanjut. Jadi, kita kena tunggu PPBM selesaikan hal dalaman parti itu terlebih dahulu kerana mereka masih sibuk menguruskan hal pendaftaran ahli dan pelancaran di pe­ringkat nasional kerana masih ada masa sebelum PRU,” ujarnya.

Sementara itu di PADANG TE­RAP, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyi­fatkan kegagalan DAP, PKR, PAN dan PPBM untuk mencapai kata sepakat dalam soal pembahagian kerusi menunjukkan mereka tidak ikhlas bekerjasama.

“Di Kedah ini, macam-macam kita sudah dengar mengenai pembahagian kerusi ini. Persoalan timbul adakah itu kerusi PKR, PAN atau PPBM. Yang saya de­ngar ada kerusi PKR yang nak dise­rahkan kepada PPBM. Lepas itu, ada kerusi yang dulu ditan­dingi Pas nak diberi kepada PAN tetapi PPBM nak tandingi.

“Saya ingat bukan mudah nak selesaikan soal kerusi dalam pakatan pembangkang ini. Dari segi teori mungkin nampak mudah untuk mereka merangka strategi bagi berdepan BN namun secara praktikal semasa proses sebenar di lapangan, bukan mudah” ujarnya.

– UTUSAN

.