Proton Saga terima 4,000 tempahan

CYBERJAYA – Model baharu Proton Saga 1.3 Liter mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan dengan 4,000 tempahan telah diterima setakat ini selepas hanya dua minggu dilancarkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn. Bhd., Rohime Shafie berkata, daripada jumlah itu lebih separuh pelanggan memilih varian Eksekutif sebagai pilihan.

Beliau berkata, ciri-ciri keselamatan yang tinggi selain reka bentuk menawan dan dijual pada harga mampu milik menjadikan generasi ketiga Proton Saga itu mendapat permintaan memberangsangkan daripada pelanggan.

“Sejak dilancarkan pada 27 September lalu, model ini telah mendapat sambutan sangat menggalakkan, seperti yang kita jangkakan, varian Eksekutif menjadi pilihan utama pelanggan berdasarkan pelbagai ciri-ciri tambahan yang ditawarkan.

“Sehingga kini sebanyak 500 unit model tersebut telah diserahkan kepada pelanggan. Kita akan pastikan pelanggan mendapat kereta yang ditempah dalam tempoh sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di majlis pelancaran program pembangunan rantaian bekalan dan perkhidmatan selepas jualan menerusi pelaksanaan Program Kecemerlangan Pembekal Automotif (ASEP) serta Program Peningkatan Keusahawanan Peniaga (DEEP) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Datuk Mohamad Madani dan Ketua Pegawai Pemerolehan Proton Holdings Bhd., Hamizan Osman.

Dalam pada itu, mengulas mengenai jualan model Proton Persona, beliau berkata, model baharu itu turut mendapat sambutan menggalakkan dengan 14,000 tempahan telah diterima.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 4,000 buah kereta telah diserahkan dan hampir separuh pelanggan memi­lih varian Premium.

“Bagi model Proton Perdana yang dilancarkan empat bulan lalu pula, kita telah menerima sebanyak 1,100 tempahan, sehingga kini sebanyak 720 buah telah diserahkan kepada pelanggan,” katanya.

Sementara itu Madani berkata, jualan memberangsangkan model baharu Proton Persona dan Saga itu telah menunjukkan bahawa program transformasi syarikat pengeluar kereta nasional itu berada pada landasan yang betul.

Pada masa sama katanya, menerusi kejayaan itu juga diharapkan syarikat pengeluar kereta nasional itu dapat menakluk pasaran ASEAN dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

– UTUSAN

.