PROTON, PERODUA MASUK GEAR TINGGI

KUALA LUMPUR – Industri kereta Malaysia dijangka dipacu lebih lancar, dengan kedua-dua pembuat kereta nasional – Proton Holdings Bhd (Proton)  dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) –  beranjak ke tahap lebih tinggi untuk menjadi lebih kukuh dan kompetitif.

Pakatan Proton dengan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd  China, dijangka dapat menangani isu struktur pasaran kecil yang sudah sekian lama dihadapi, kurangnya ekonomi yang menguntungkan dari segi kos serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang mahal.

Perodua, sebaliknya sedang meningkatkan rantaian nilai dalam industri berasaskan keupayaannya untuk bersaing di peringkat global.

Inilah yang cuba diperincikan secara lebih mendalam mengenai kemajuan dicapai oleh pembuat kereta itu hasil temu bual baru-baru ini bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa berkata, Proton, pengeluar kereta pertama negara, kini dapat mengakses pasaran sedia ada pembuat kereta China dan juga segmen pemanduan kanan di Asia Tenggara.

“Kerjasama ini akan membolehkan Proton memanfaatkan teknologi Geely dan kemudahan R&D termasuk pelbagai platform dan rangkaian kuasa.

“Lebih penting lagi, ia dapat merealisasikan  sepenuhnya  potensi kilang pengeluarannya,” katanya.

Menurutnya, Proton boleh pulih dan menjadi penggiat global berdaya saing apabila semua isu itu ditangani.

DRB-Hicom Bhd,  pemilik  tunggal Proton telah mencapai persetujuan  untuk Geely memperoleh 49.9 peratus ekuiti dalam syarikat itu, dan sebagai sebahagian daripada perjanjian tersebut, kumpulan kereta China juga memperoleh 51 peratus kepentingan dalam pengeluar kereta Britain, Lotus yang dipegang Proton sejak 1996.

Tertakluk kepada kelulusan peraturan dan pemegang saham, DRB-Hicom dan Geely dijangka menandatangani perjanjian muktamad  bulan  depan. Nilai dan butiran perjanjian itu akan diumumkan kemudian.

“Reaksi  industri  kereta  terhadap pengumuman  oleh DRB-Hicom untuk menjual 49.9 peratus daripada ekuitinya kepada Geely pada 24 Mei 2017 mendapat sambutan positif.

“Banyak yang memahami perlunya  Proton mempunyai rakan strategik bagi mengatasi cabaran utamanya, termasuk penurunan jualan dalam negeri, pasaran eksport terhad, kurangnya ekonomi menguntungkan dari segi kos, selain pelaburan dalam R&D dan teknologi,” kata Mustapa.

Bagaimanapun katanya, industri kereta tempatan bimbang terhadap impak perkongsian strategik ke atas vendor tempatan, terutama apabila penyusunan semula perniagaan perkongsian diputuskan.

Proton mempunyai kira-kira 240 vendor, dengan hampir 50,000 pekerja dalam rantaian bekalan langsungnya.

“Bagaimanapun, DRB-Hicom memberi jaminan dalam memilih Geely sebagai rakan kongsi, ia telah mengambil kira semua isu tersebut, termasuk kesan terhadap vendor tempatan.

“Walaupun vendor tempatan perlu memenuhi kualiti ketat, kos dan langkah penghantaran untuk memastikan daya saing Proton, mereka juga terbuka kepada peluang lain yang terhasil daripada  perkongsian itu.

“Ini termasuk kerjasama teknikal untuk meningkatkan keupayaan, kemungkinan penyertaan dalam bekalan Geely dan mengeksport secara serantau,” katanya.

Mengenai sama ada industri kereta tempatan dianggap telah diliberalisasikan hasil kerjasama Proton-Geely itu, beliau berkata, industri itu sudah agak terbuka dan diliberalisasikan di bawah Dasar Automotif Kebangsaan 2014.

“Kerajaan membenarkan pengeluaran Lesen Pengilangan baharu untuk kenderaan bermotor dalam kategori kenderaan cekap tenaga dalam semua segmen tanpa pembatasan kapasiti enjin.

“Di samping itu, tidak ada had ekuiti bagi pelabur/syarikat asing untuk mengambil bahagian dalam aktiviti perkilangan dalam sektor kereta.

“Oleh itu, tidak ada isu meliberalisasi industri kereta dikaitkan dengan kerjasama tersebut,” kata Mustapa.

Bagi Perodua, beliau berkata, prestasi pengeluar kereta kebangsaan kedua baik, dengan jualan domestik sebanyak 207,110 unit tahun lalu atau penguasaan 35 peratus daripada keseluruhan jumlah keluaran industri, menjadikan Perodua sebagai peneraju pasaran dalam industri kenderaan bermotor tempatan.

Perodua juga sedang membangunkan pelan eksport untuk memperluaskan pasarannya di negara Asean, negara Pertubuhan Kerjasama Islam dan Afrika.

“Perodua sudah mengeksport hampir 5,000 unit setiap tahun ke Sri Lanka, Indonesia, Fiji, Brunei dan Mauritius.

“Ia juga berusaha  mendapatkan vendor tempatan untuk mengambil bahagian dalam rantaian bekalan Daihatsu,” katanya.

Secara tradisinya, kekuatan Perodua ialah dalam pasaran kereta kecil kompak hasil perkongsiannya dengan Daihatsu yang terkenal dalam pengeluaran kereta kompak.

“Pengenalan model Bezza tahun lalu dan sambutan positifnya, menunjukkan keupayaan Perodua untuk meneroka segmen lain,” katanya.

Bezza model Perodua pertama yang direka bentuk dan dibangunkan secara dalaman.

Selain itu, Perodua mempunyai lebih 100 vendor tempatan untuk mengambil bahagian dalam pembuatan bahagian dan komponen untuk memenuhi keperluannya.

“Inisiatif ini bukti komitmen Perodua untuk meningkatkan rantaian nilai dan keupayaan mereka untuk berdaya saing di peringkat global.

“Model perniagaan Perodua menerusi pakatan dengan Daihatsu telah terbukti berjaya dan ia mesti terus melakukan promosi eksport yang agresif untuk memasarkan kereta di luar negara,” katanya.

– Bernama

.