PROJEK TRX KINI DI BAWAH KEMENTERIAN KEWANGAN

Projek Tun Razak Exchange (TRX) 1MDB kini di bawah kawalan penuh kementerian kewangan, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani.

Johari berkata projek itu, dengan nilai pembangunan kasar sebanyak sekurang-kurangnya RM40 bilion, kini adalah usaha kerajaan.

“TRX kini diambil alih oleh kementerian kewangan dan kita akan melengkapkan keseluruhan projek ini. Kita akan menyiapkannya.

“Kita terpaksa melakukannya. Jika tidak, kita perlu serahkan kepada 1MDB dan mereka tidak akan dapat melakukannya,” kata Johari yang dipetik oleh The Malaysian Reserve semalam.

TRX disebut-sebut sebagai hab masa depan kewangan Islam apabila ia dilancarkan pada tahun 2012 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Projek seluas 70 ekar itu terletak di kawasan bersebelahan bulatan Pandan di Kuala Lumpur, dan merupakan aset utama 1MDB, yang memperoleh tanah berkenaan dari Putrajaya pada harga RM194.1 juta (RM63.4 sekaki persegi) pada 2010.

Sejak itu, nilai tanah berkenaan meningkat dengan pesat. Lembaga Tabung Haji sebagai contoh membayar harga RM2,774 sekaki persegi bagi mendapatkan 0.64 hektar plot tanah di TRX tahun lalu.

MKINI

.