PROJEK PELABUHAN MENGHANTUI KAUM MAH MERI DI PULAU CAREY

Mah Meri – satu daripada 18 kaum pribumi di Semenanjung Malaysia – yang sebahagian besarnya telah dapat mengekalkan cara hidup mereka walaupun Lembah Klang telah pesat berkembang.

Mereka yang terkenal dengan kepakaran ukiran kayu yang indah, telah menjadi sinonim dengan Pulau Carey.

Mereka telah mendiaminya sejak zaman awal Kesultanan Selangor, dan kekal di sana walaupun selepas ia dibeli oleh seorang lelaki British dan menukarnya menjadi sebuah ladang, yang kemudiannya berada di bawah hak milik Sime Darby Bhd.

Tetapi semua itu mungkin akan berubah tidak lama lagi, kerana Pulau Carey telah dikenal pasti sebagai tapak pembinaan pelabuhan bernilai RM200 bilion.

Digambarkan sebagai sebuah bandar industri pelabuhan, projek itu dijangka meliputi kawasan seluas 100 kilometer persegi – iaitu dua kali ganda keluasan Putrajaya.

Bagaimanapun, kaum Mah Meri tidak tahu menahu mengenai projek itu, selain daripada apa yang telah dilaporkan dalam media.

Ketika mereka merayakan Hari Moyang yang dirayakan setiap tahun dan yang telah menjadi tarikan pelancong, nasib tanah nenek moyang mereka, dan juga sama ada akan ada lagi Hari Moyang di masa depan, menghantui fikiran mereka.

Tak pasti masa depan mereka

“Ramai daripada kami telah mendengar ceramah mengenai pembangunan. Kami dengar pelabuhan akan dibina di sini dan kami semua akan terpaksa berpindah.

“Budaya kami juga terpaksa akan berubah jika kami kena pindah,” kata seorang pembuat kraftangan dengan nama Masmay.

Malaysiakini berada di Pulau Carey untuk menyaksikan Hari Moyang, perayaan roh nenek moyang kaum Mah Meri yang mereka percaya melindungi tanah mereka.

Kampung Sungai Judah meraikan hari lahir salah satu roh penjaga, yang jatuh pada hari kelima Tahun Baru Cina (1 Februari).

Ia adalah salah sebuah daripada lima buah kampung Mah Meri di Pulau Carey dan berhampiran Sungai Pelek.

Majlis tersebut telah diadakan di pantai tertentu di Pulau Carey sejak banyak generasi, dan menurut Daiman Pron, salah seorang daripada orang tua kampung Pulau Carey, projek bandar pelabuhan merangkumi tapak tempat perayaan mereka.

“Saya adalah generasi kelima Tok Batin (ketua kampung) dan saya berumur 57 tahun. Majlis ini telah diadakan di pantai ini sejak sekurang-kurangnya lima generasi,” kata Daiman.

Katanya, beliau hanya mengetahui tentang rancangan untuk membina sebuah pelabuhan di Pulau Carey selepas membacanya di akhbar.

“Saya difahamkan bahawa pantai ini tidak dianggap sebagai rizab Orang Asli, tetapi setakat yang saya tahu, hanya kami yang menyambut Puja Pantai dalam Malaysia,” kata Daiman.

Pengarah Perkampungan Budaya Mah Meri, Rashid Esa berkata kerajaan Selangor sedang menentukan kawasan-kawasan mana di Pulau Carey yang dianggap tempat suci dan mempunyai nilai kepada kaum Mah Meri.

Sementara itu, penyelaras Pusat Keprihatinan Orang Asli (COAC) percaya bahawa kaum Mah Meri akan sama ada dipindahkan atau ditempatkan semula di kawasan yang lebih jauh dari tanah pusaka mereka dan mungkin di kawasan yang lebih kecil.

Menurut Muzium Pribumi pula, terdapat 1,149 orang Mah Meri di Pulau Carey pada tahun 2007 dan sejak itu, jumlah mereka semakin meningkat.

Daiman berkata di kampungnya sahaja, terdapat 473 penduduk.

Kebanyakan orang Mah Meri tidak tahu banyak tentang kehidupan di luar pulau mereka dan bergantung sepenuhnya kepada sumber semula jadi.

Masmay bergantung kepada pertanian semula jadi di pulau itu untuk menghasilkan kraftangan, dan suaminya juga mempunyai ladang di pulau itu.

Dia bimbang tentang masa depan mereka jika mereka terpaksa berpindah jauh dari segala yang mereka ada sekarang.

– M’kini

.