PRK DUN TANJONG DATU 18 FEBRUARI

PUTRAJAYA – Pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Tanjong Datu, Sarawak akan diadakan 18 Februari ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.

Beliau berkata, suruhanjaya itu dalam mesyuarat khas hari ini juga menetapkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya (PRK) itu pada 4 Feb, manakala pengundian awal pada 12 Feb.

PRK Dun Tanjong Datu diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga Ketua Menteri Sarawak kelima Tan Sri Adenan Satem,akibat komplikasi jantung pada 11 Januari lepas, di Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-11 Mei tahun lepas, Adenan, 72, mendapat 6,360 undi mengalahkan calon PKR, Jazolkipli Numan dengan majoriti 5,892 undi. Jazolkipli hanya meraih 468 undi.

Adenan adalah penyandang kerusi Tanjong Datu sejak PRN 2006.

Mohd Hashim pada sidang media berhubung PRK itu berkata, kawasan Dun Tanjong Datu mempunyai 9,959 pemilih berdaftar melibatkan pengundi biasa (9,771) dan pengundi awal (188).

“Seramai 250 orang petugas pilihan raya akan dilantik untuk pengendalian proses pilihan raya ini dan dianggarkan memerlukan belanjawan sebanyak RM997,919,” katanya.

Pilihan raya kecil itu akan menggunakan daftar pemilih induk 2015 yang digabungkan dengan daftar pemilih tambahan sehingga suku kedua tahun 2016 yang telah dikemas kini sehingga 11 Januari, katanya.

Mohd Hashim berkata, SPR bersetuju melantik Pegawai Daerah Lundu, Hamsein Atar, sebagai Pengurus PRK Dun Tanjong Datu.

Beliau turut mengumumkan penubuhan Pasukan Penguat kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memantau semua aktiviti kempen.

Dewan Masyarakat Lundu dipilih sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi, manakala pusat pengundian awal diadakan di Dewan Kampung Sungai Lundu dan Dewan ULS Kem Sampadi, katanya.

Katanya sebanyak 18 buah premis akan digunakan sebagai pusat mengundi iaitu 14 buah sekolah dan empat buah dewan masyarakat, melibatkan 27 saluran tempat mengundi.

Mohd Hashim berkata, mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berminat menjalankan pemerhatian terhadap perjalanan proses PRK itu, yang bermula dari hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan, boleh membuat permohonan kepada SPR sebagai pemerhati tempatan sehingga 30 Januari.

“Mereka dibenarkan membuat pemerhatian seperti di dalam pusat penamaan calon, pusat mengundi awal, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan proses penjumlahan undi,” katanya.

Mohd Hashim berkata, daftar pemilih akan mula dijual pada 2 Februari dan para pengundi dalam bahagian itu boleh membuat semakan untuk mengetahui maklumat pusat mengundi dan saluran mengundi mereka di laman web www.spr.gov.my atau melalui SMS dengan menaip SPR <jarak> SEMAK <jarak> NO. KAD PENGENALAN dan hantar ke 15888 mulai 2 Februari.

Selain itu, pengundi juga boleh menghubungi ibu pejabat SPR di 03-88927000 atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak (082-254233 atau 082-254867).

– Bernama

.