PRESIDEN MAJLIS PEGUAM KECEWA DENGAN ‘SERANGAN’ PEJABAT KETUA HAKIM NEGARA

PRESIDEN Majlis Peguam Malaysia George Varughese menyifatkan usaha Pejabat Ketua Hakim Negara untuk menyekat ucapannya di majlis pembukaan tahun perundangan (OLY) sebagai “serangan” ke atas kebebasan badan peguam itu.

Varughese berkata, sebagai salah seorang dari tiga individu yang secara tradisinya berucap semenjak bermulanya prosiding upacara OLY pada 2010, beliau berpegang teguh kepada hak untuk bersuara tanpa ditapis.

“Tidak pernah sebelum ini Pejabat Ketua Hakim cuba untuk mengenakan sebarang sekatan mengenai kandungan ucapan Presiden Majlis Peguam,” kata Varughese dalam satu kenyataan hari ini.

“Bagaimanapun, cubaan yang belum pernah terjadi ini, iaitu untuk menganggu ucapan Presiden adalah satu serangan terhadap kebebasan Majlis Peguam.

“Ini langsung tidak boleh diterima,” beliau berkata.

Ketua Hakim Negara Raus Sharif merupakan satu-satunya yang berucap pada majlis OLY di Putrajaya hari ini selepas beliau membatalkan undangan bagi Varughese dan Peguam Negara Mohamed Apandi Ali untuk berucap.

Raus memberitahu pemberita yang beliau membatalkan ucapan Varughese, yang berhasrat untuk menyentuh tentang pelantikan kontroversi beliau sebagai Ketua Hakim Negara.

Jelas Raus, “tidak wajar” jika prosiding itu digunakan untuk menyuarakan rungutan Majlis Peguam, dan menurutnya lagi, ianya juga “janggal” bagi peguam negara memandangkan kes berkaitan pelantikannya sedang berjalan di mahkamah.

Majlis Peguam memboikot prosiding hari ini dan mengadakan majlis pembukaan tahun perundangan sendiri malam tadi.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.