PREMIS BARU TAHFIZ DQI BEROPERASI AWAL 2018

Premis baharu pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang sebelum ini dijadual beroperasi Oktober ini ditangguhkan dan hanya akan digunakan awal tahun depan.

Pengetuanya Mohd Zahid Mahmood berkata penangguhan itu berikutan pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan yang perlu mematuhi beberapa ciri keselamatan seperti ditetapkan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Kelmarin¬†ketika bomba melakukan pemeriksaan, mereka menyuruh kami membuat beberapa ubah suai dan penambahbaikan antaranya memasang penyedut asap dan loceng kecemasan,” katanya kepada pemberita semalam.

Menurutnya proses berkenaan akan mengambil masa beberapa bulan, sebelum kesemua pelajar meneruskan aktiviti pembelajaran di bangunan baharu.

Beliau berkata pihaknya akan mencari tempat baharu di lokasi berhampiran pusat tahfiz yang terbakar sebagai pusat pengajian sementara supaya para pelajar yang bercuti dapat meneruskan pembelajaran secepat mungkin.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya akan berjumpa dengan kesemua ibu bapa pelajar dalam masa terdekat bagi menjelaskan situasi sebenar.

“Kami akan bersemuka dengan mereka (ibu bapa) kerana tidak mahu ada pihak ketiga yang mengeruhkan keadaan. Sumbangan yang kami peroleh akan dipulangkan kepada keluarga mangsa dan hanya sebilangan kecil sahaja akan digunakan untuk membaiki kerosakan pusat tahfiz yang terbakar ini,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati orang ramai masih lagi mengunjungi lokasi kejadian untuk merakamkan gambar dan menghulurkan sumbangan.

Seramai 21 pelajar dan dua guru yang bertugas sebagai warden pusat tahfiz itu terkorban apabila asrama yang terletak di tingkat tiga terbakar pada 5.15 pagi, Khamis lepas.

Sumbangan WAR

Sementara itu,  kira-kira 60 peserta Kayuhan Warga Ampang Rider (WAR) mengunjungi lokasi kebakaran menyayat hati itu bagi menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,555 pada pukul 10.30 malam tadi.

Menurut Presiden WAR, Ahmad Kamal Osman, kesemua peserta berbasikal itu memulakan kayuhan dari Taman Kosas di Ampang sejauh 15 kilometer menuju ke pusat tahfiz DQI.

“Kami berjaya mengumpulkan sebanyak RM5,555 sejak kelmarin yang disumbangkan para peserta dan orang ramai,” katanya kepada pemberita.

Pada 14 September lepas, 21 pelajar dan dua guru yang juga warden pusat tahfiz itu terkorban akibat terperangkap di asrama tersebut dalam tragedi kebakaran 5.15 pagi.

– Bernama

.