PPBM: ANINA TOLAK ALASAN ‘KESILAPAN TEKNIKAL’

PETALING JAYA – Anina Saadudin pada Isnin menafikan dakwaan bahawa majlis angkat sumpah jawatan sebagai ketua sayap wanita Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) adalah ‘kesilapan teknikal’.

Beliau merujuk kepada laporan berita yang memetik Setiausaha Agung PPBM, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh sebagai berkata bahawa majlis angkat sumpah beliau pada 2 November lalu adalah ‘kesilapan teknikal’.

“Kesilapan teknikal hanyalah satu alasan,” katanya kepada The Star Online.

Apabila ditanya sama ada beliau percaya sudah dibuang dari kedudukannya, Anina menjawab: “Ya, itulah yang saya percaya, itulah yang saya faham.”

“Saya dimaklumkan oleh Setiausaha Agung dan Timbalan Presiden yang Majlis Presiden tidak mencadangkan saya untuk menjadi Ketua Srikandi PPBM,” katanya.

Anina juga berkata beliau juga tidak mengetahui siapa yang telah menggantikan kedudukannya sebagai Ketua Srikandi.

“Saya tidak tahu siapa yang menggantikan saya bagi kedudukan itu.

“Mereka membuat keputusan itu, mereka seharusnya mempunyai calon untuk menggantikan saya. Mereka sepatutnya lebih tahu,” katanya.

Apabila ditanya sama ada beliau telah dipecat kerana dakwaan skandal seks, Anina berkata: “Saya tidak tahu.”

– http://www.mstar.com.my/

.