PORTAL: PERINGATAN KEPADA PEMIMPIN MUDA MAHU CABAR HISHAM

Sebuah portal pro-Umno mendakwa pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri adalah sebagai “peringatan” kepada pemimpin muda parti yang merancang untuk mencabar beliau pada pemilihan parti.

Walau bagaimanapun, MyKMU tidak menamakan pemimpin berkenaan.

Semalam, pemimpin PKR Rafizi Ramli mendakwa berdasarkan sumber Umno, Hishammuddin sedang ketinggalan di belakang dua daripada mereka itu dalam perlumbaan untuk merebut tiga jawatan naib presiden parti.

Kedua-dua mereka, katanya, adalah Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Pada pemilihan Umno lalu, Hishammuddin yang adalah sepupu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, menang jawatan naib presiden dengan undi paling sedikit.

Beliau ketinggalan di belakang Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahidi yang menduduki tempat pertama dan diikut oleh Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Shafie bagaimanapun, kemudiannya bertindak menubuhkan parti baru yang berpangkalan di Sabah selepas meninggalkan Umno susulan penggantungan dirinya sebagai naib presiden.

Sementara itu, MyKMU juga menolak spekulasi bahawa pelantikan Hishammuddin adalah sebagai “gerakan” untuk menggugurkan Ahmad Zahid sebagai timbalan perdana menteri.

“Perdana Menteri tidak memerlukan Hishamuddin di Jabatan Perdana Menteri jika beliau mahu menyingkirkan Ahmad Zahid. Cukup dengan menghadap Yang di-Pertuan Agong memohon perkenan merombak kabinet.
“Ini telah beliau lakukan ketika menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dari jawatan timbalan perdana menteri dua tahun lalu. Ketika itu, Muhyiddin adalah timbalan presiden Umno yang secara konvensyennya berhak memegang jawatan timbalan perdana menteri,” katanya.

Muhyiddin dipecat daripada kerajaan dan Umno kerana sering lantang dan mengkritik isu 1MDB, dan ini membuka jalan bagi Ahmad Zahid menjadi timbalan perdana menteri walaupun beliau hanya naib presiden dalam parti.

Muhyiddin, bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kemudiannya membentuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), yang kini adalah ahli gabungan pembangkang Pakatan Harapan.

– M’kini