POPULARITI CALON PENENTU KERUSI TITIWANGSA

SELEPAS pilihan raya umum (PRU) yang lepas, kawasan Parlimen Titiwangsa hampir terkepung oleh kawasan Parlimen yang dimenangi pembangkang.

Ia bersempadan dengan Batu dan Pandan yang dimenangi oleh PKR serta Bukit Bintang dan Cheras yang dikuasai DAP. Hanya satu kawasan di utaranya iaitu Setiawangsa yang dimenangi oleh Barisan Nasional (BN).

Titiwangsa dan Setiawangsa dua saja kerusi yang dimenangi oleh BN di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada PRU 2013 itu. Sembilan kerusi lain masing-masing dimenangi lima oleh DAP dan empat PKR.

Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Abdul Ghani berkata analisis keputusan PRU13 menunjukkan BN tidak mendapat sokongan daripada pengundi Cina. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 5 November, 2017.
Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Abdul Ghani berkata analisis keputusan PRU13 menunjukkan BN tidak mendapat sokongan daripada pengundi Cina. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 5 November, 2017.

Kemenangan di Titiwangsa dianggap kejayaan oleh BN kerana merampas kerusi yang sebelumnya dipegang PAS selepas PRU 2008. Namun kemenangan pada 2013 itu bukan kejayaan mutlak kerana jumlah majoriti undinya kecil.

Calon BN, Johari Abdul Ghani menang dengan hanya 866 undi mengalahkan calon PAS, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzami. Majoriti itu jauh kecil berbanding dengan majoriti yang dimenangi oleh calon BN pada PRU 2004 sebanyak 11,815 undi. Semasa BN kehilangan kerusi itu, ia kalah kepada PAS dengan perbezaan 1,972 undi.

Johari berkata analisis keputusan PRU13 menunjukkan BN tidak mendapat sokongan daripada pengundi Cina terutamanya di daerah mengundi Kompleks Damai dan Jalan Cochrane. Beliau juga kalah beberapa peti undi di Kampung Baru, Jalan Pahang dan Kampung Pandan.

Kawasan Titiwangsa mempunyai 68% pengundi Melayu, 20% Cina dan 10% India.

“Saya terima hakikat. Tetapi keputusan itu kita tidak baca juga kerana pada waktu itu berlaku tsunami bandar. Jadi menang di kerusi bandar ini, bagi saya menang nyawa-nyawa ikan.

“Itu pun saya sudah berikan khidmat (di kawasan Titiwangsa) sejak 2010,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurut data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kawasan pengundian terbahagi kepada majoriti Melayu dan Cina. Pengundi Cina bertumpu di Kampung Pandan Tengah, Jalan Pahang, Kompleks Damai, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Kampung Pandan Luar.

Pengundi Melayu pula berada di Datuk Keramat Utara, Taman Maluri, Datuk Keramat Seberang, Kampung Bharu Selatan, Jalan Haji Hussin dan Jalan Raja Muda.

Sejak empat tahun lalu, selepas menyedari beliau tidak mendapat sokongan daripada pengundi bukan Melayu, Johari berusaha melakukan bermacam-macam perkara untuk mendekati mereka.

Namun, selepas empat tahun, beliau mengakui agak sukar untuk mendekati mereka kerana kebanyakan pengundi tidak tinggal di kawasan yang menjadi sasarannya.

“Pengundi di Kompleks Damai misalnya, mereka tidak duduk di kawasan itu, kawasan rumah kedai. Apabila kita buat program orangnya tak datang. Yang datang warga asing. Tapi apa-apa isu yang timbul di sana, memang saya bantu.

“Masalahnya cuma mereka tidak duduk di kawasan. Apabila ada program masyarakat tidak turun. Itu memang tak boleh buat apa,” kata Johari.

Johari berkata kebanyakan pengundi tinggal di kondominium dan tidak ada persatuan penduduk yang menghubungkan mereka dengannya.

Beliau menyebut Kompleks Damai dan Setapak Sentral yang mempunyai majoriti pengundi Cina. Selain premis kedai, ia juga menempatkan pangsapuri dan kondominium dan tanah lot.

Setiap Jumaat ahli Parlimen Titiwangsa bertemu penduduk di pusat khidmat wakil rakyat di Desa Pandan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 5 November, 2017.
Setiap Jumaat ahli Parlimen Titiwangsa bertemu penduduk di pusat khidmat wakil rakyat di Desa Pandan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 5 November, 2017.

Biarpun berdepan cabaran yang besar, Johari yakin reputasinya sebagai wakil rakyat yang berkhidmat akan menjadi kunci untuk menang. Selebihnya, beliau juga anak tempatan yang lahir dan membesar di kawasan itu.

Johari memperuntukkan masa setiap Jumaat bertemu penduduk di pusat khidmat wakil rakyat yang dibukanya di Desa Pandan. Setiap Jumaat, tempat itu selalu penuh sesak dengan penduduk pelbagai kaum, seperti ada majlis hari terbuka.

“Ini wakil rakyat dia tak kisah apa bangsa, semua dia bantu. Dia ahli Parlimen yang bagus,” kata Jimmy Ho, pengundi di Titiwangsa.

Katanya, khidmat yang diberikan oleh Johari itu sudah memadai untuk beliau menentukan pilihannya, dan bukannya isu-isu semasa yang menjadi tajuk berita setiap hari.

“Isu nasional kita tak tengok kerana saya tengok calon yang servis kepada rakyat yang bagus,” katanya, ditemui ketika menunggu giliran berjumpa Johari, baru-baru ini.

Seorang ibu tunggal, Maryam, 44, juga memuji sentuhan khidmat Johari yang katanya selalu prihatin dengan nasib golongan berpendapatan rendah terutamanya penduduk perumahan rakyat termiskin (PPRT) di sekitar Titiwangsa.

Selain mendapatkan sedikit bantuan kewangan untuk menampung kos sara hidup yang meningkat, Maryam menagih bantuan wakil rakyat untuk persekolahan anak-anaknya.

“Saya ibu tunggal dan meniaga. Apabila Datuk (Johari) bagi bantuan, lepaslah duit dapur saya bulan-bulan.

“Datuk sangat senang dihubungi. SMS pun dibalas. Dia tidak ada protokol dan sangat mesra,” katanya.

Ketokohan dan personaliti Johari yang kuat pengaruhnya dalam kalangan pengundi turut diakui oleh lawan politiknya dari PAS.

Ketua Pemuda PAS Titiwangsa Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata BN ada kelebihan pada Johari yang cukup popular di Titiwangsa.

Ketua Pemuda PAS Titiwangsa Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata Barisan Nasional ada kelebihan pada Johari Abdul Ghani yang cukup popular di Titiwangsa. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 5 November, 2017.
Ketua Pemuda PAS Titiwangsa Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata Barisan Nasional ada kelebihan pada Johari Abdul Ghani yang cukup popular di Titiwangsa. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 5 November, 2017.

Namun beliau yakin, dengan jentera pilihan raya yang dianggotai 500 petugas, parti Islam itu mampu memberi saingan sengit dan memegang semula kerusi itu seperti pada PRU 2008.

“Datuk Johari ini personaliti besar, jadi untuk tandingi beliau calon kita nanti insya-Allah perlu sebaris dengan beliau,” katanya.

Tetapi PAS Titiwangsa mengakui ada satu lagi cabaran besar. Selepas krisis dalaman yang membawa kepada pecahnya Pakatan Rakyat, PAS belum tentu akan dapat sokongan daripada 30% pengundi bukan Melayu.

“Tapi apa pun kita ada formula untuk fokus pada pengundi Melayu dan kita kurangkan sasaran pengundi Cina dan India. Kita juga berharap akan dapat sokongan daripada pengundi muda.

“Setiap kali pilihan raya kita bekerja dan kemenangan Allah beri,” katanya.

Ditanya bayang-bayang calon PAS yang akan menandingi Johari, Suhaimi enggan menamakan calon PAS itu.

Namun sumber PAS yang lain memberitahu The Malaysian Insight, antara nama yang disebut-sebut akan dimajukan sebagai calon parti itu pada PRU14 ialah Ketua Muslimat PAS Nuridah Salleh.

Pemilihan Nuridah dilihat mahu meminjam semangat kemenangan bekas ketua sayap wanita itu pada 2008, Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali yang meninggal dunia tiga tahun dalam khidmat sebagai wakil rakyat.

Tetapi selain Umno dan PAS, Pakatan Harapan turut mengintai kerusi Titiwangsa, disebut-sebut akan meletakkan calon dari Amanah, parti serpihan PAS yang dibentuk oleh golongan profesional berpendirian Islam sederhana yang tersingkir ketika krisis dalaman Pakatan Rakyat.

Menurut sumber PH, calon Amanah yang dipersiapkan untuk bertanding di Titiwangsa ialah Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli.

Namun dalam kalangan jentera PH, untung nasib pakatan pembangkang itu untuk menang kerusi Titiwangsa bergantung pada ketokohan calon yang dinamakan oleh parti.

Setiausaha Pemuda PKR Selangor Syed Shah Syed Osman berkata peluang PH tipis kalau Amanah tidak menamakan calon yang tepat.

“Di Titiwangsa, PH ada harapan untuk menang kerana dijangka berlaku pecah undi Melayu. Tetapi Johari anak tempatan, calon diletakkan perlu tepat.

“Undi sebelum ini kawasan Melayu kebanyakannya tipis tetapi sentimen Melayu memilih anak tempatan amat tinggi. Datuk Lo’ Lo’ dulu tokoh nasional dan dia tinggal di Keramat.

“Untuk beberapa sentimen, kalau tak letak yang sesuai. Saya berat hati untuk yakin menang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

PH juga mengakui jalan sukar untuk menang di Titiwangsa walaupun ada perbezaan undi yang kecil ketika PRU lepas. Sekali lagi, sama seperti PAS, jentera PH juga gerun dengan populariti Johari, terutamanya dalam kalangan pengundi Melayu di Kampung Baru dan Keramat.

“Saya sebut berdasarkan maklumat kerana saya duduk dalam jawatankuasa surau. Kebanyakan ketua kampung selesa dengan beliau. Mereka pentingkan isu anak tempatan,” katanya yang mengundi di Titiwangsa sejak 2004.

Katanya, PH berharap untuk menang dengan perpecahan undi daripada pertembungan tiga penjuru, selain menumpang modal atas isu nasional seperti kos sara hidup yang tinggi, cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang tidak menguntungkan kerajaan.

“Pengundi Melayu sebanyak 70% akan pecah kepada tiga iaitu Umno dan Bersatu dan penyokong tegar PAS.

“Pengundi atas pagar PAS akan pergi kepada Amanah manakala 30% bukan Melayu, akan memihak kepada kita (PH),” kata bekas ketua Pemuda PKR Titiwangsa itu.

Walaupun mengakui isu nasional itu akan memberikan kesan kepada pola pengundian, Johari percaya pengundi pada akhirnya akan melihat prestasi beliau sebagai wakil rakyat yang sentiasa mendengar keluhan mereka.

“Golongan bukan Melayu ini kita tidak boleh baca pengundian mereka sebab mereka melihat pada peringkat nasional, walaupun dia tak menilai prestasi saya di peringkat bawah tapi mereka boleh nilai prestasi saya di peringkat nasional (sebagai menteri kewangan).

“Kita duduk dalam demokrasi. Tiada siapa paksa kamu undi. Saya selalu pesan apabila kita mengundi, jangan mengundi dengan emosi, jangan guna sentimen.

“Undi daripada segi latar belakang, prestasi, kesungguhan dan komitmen.

“Biar pengundi menentukan. Mereka bijak menilai,” katanya.

– https://www.themalaysianinsight.com

.