‘POLITIK TONG NAJIS’ MAHATHIR, ANWAR

Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi membuat kejutan besar apabila hadir memberi sokongan kepada musuh ketatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah pada 5 September lalu.

Selepas 18 tahun, pertemuan itu dianggap detik penuh sejarah apabila kedua-dua musuh politik itu bertentang mata dan dilihat berjabat tangan.

Pertemuan antara kedua-dua tokoh itu menimbulkan pelbagai reaksi dan spekulasi. Antara penyokong Mahathir (baca: Parti Pribumi Bersatu Malaysia – BERSATU), Datuk Seri Najib Razak (baca: BN) dan Anwar (baca Pakatan Harapan) masing-masing mentafsirkan pertemuan itu dengan perspektif yang berbeza-beza.

Tidak kurang juga yang bersikap sinis terhadap kedua-dua tokoh itu dan menganggap pertemuan tersebut sebagai lawak terbaik yang pernah dipersembahkan di abad ini.

Pak cik dan mak cik di kampung-kampung barangkali menerima berita tersebut dengan mulut hampir ternganga.

Apa yang berlaku selepas ini, tiada sesiapa yang dapat menjangkakannya. Barangkali Malaysia memerlukan seorang Nostradamus untuk meramalkan kejutan demi kejutan yang bakal berlaku dalam politik negara.

Yang pasti masih terlalu awal untuk merumuskan pertemuan kedua-dua tokoh itu dan kesannya kepada lansdkap politik tanah air.

Kejutan dan drama

Kedua-dua tokoh itu sememangnya penuh dengan kejutan dan drama. Sebagai pemimpin yang bergelumang dalam dunia politik berpuluh tahun lamanya, tentu kedua-dua mereka mempunyai pengalaman dan kebijaksaan politik tersendiri.

Kebijaksanaan politik itu memerlukan strategi pintar serta percaturan nakal yang kadang kala sukar pula diramal.

Ibarat pendekar yang sedang berpencak silat dalam gelangang. Dan sebagai pendekar, tentu sekali gaya dan langkah kependekaran itu memerlukan kepintaran tinggi juga, dan sedikit sebanyak tipu muslihat.

Pertemuan 5 September itu juga tidak mungkin berlaku secara spontan atau tanpa dirancang, sekurang-kurangnya di pihak Mahathir.

Melalui berita dan gambar, kita hanya tahu Mahathir menemui Anwar, manakala Anwar menyambut salamnya dengan senyuman termanis yang dapat diberikan.

Selebihnya, apa yang berlaku di belakang tabir sebelum pertemuan itu, hanya mereka yang tahu. Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali yang kini semakin kuat dan berpengaruh dalam PKR tentu lebih arif mengenai hal ini.

Sebagai ahli politik, tidak ada sebab mengapa Anwar perlu mengelak daripada bertemu Mahathir. Ia adalah kesempatan terbaik baginya untuk menonjolkan dirinya sebagai tokoh berjiwa besar dan bukan pendendam di sebalik dakwaan sekian lama dia dianiaya bekas bosnya itu.

Bagi Mahathir pula tindakannya itu juga pasti dilihat seperti menjilat ludah sendiri. Namun itu sudah tidak penting bagi dirinya kerana keutamaannya pada masa ini adalah menjatuhkan Najib.

Mesej dan wahyu daripada Anwar

Adalah jelas bahawa Mahathir mahu menyampaikan mesej tertentu kepada bekas anak didik dan musuh paling ketatnya dalam sejarah.

Pada kenyataannya selepas itu, Mahathir mengatakan beliau hadir bagi menyokong usaha Anwar mencabar kesahihan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang akan memberi lebih banyak kuasa kepada perdana menteri.

Selain itu, mesej-mesej yang dihantar mungkin perlu dibaca secara tersirat. Daripada mesej tersirat itu pula, tidak keterlaluan untuk ditafsirkan bahawa Mahathir sedang mendapatkan sokongan Anwar terhadap parti yang baru yang diasaskannya – BERSATU.

Mahathir tahu bahawa parti baru yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin itu tidak akan dapat bergerak sendiri tanpa sokongan dan bantuan parti-parti pembangkang lain.

Mahathir juga kini mungkin menyedari kesilapan peribadi yang pernah dilakukan Anwar tidak sehebat kesalahan yang dilakukan Najib.

Tetapi adalah mustahil untuk Mahathir meminta maaf atau mengakui beliau terlibat dalam konspirasi politik untuk menjatuhkan dan memenjarakan Anwar seperti yang dipercayai sebahagian besar penyokong pembangkang.

Setakat ini, pendirian Mahathir mengenai salah laku seks Anwar adalah jelas dan tidak berubah. Permohonan maaf kepada Anwar dan penyokongnya hanya akan membunuh dirinya sendiri dan mencampaknya dalam tong sampah sejarah.

Pada masa sama, tidak semua pimpinan dan anggota pembangkang, terutama PKR bersedia menerima kehadiran Mahathir yang pernah dikecam mereka dengan pebagai gelaran seperti korup, zalim, diktator dan sebagainya.

Sekali lagi, Azmin yang menyaksikan pertemuan bersejarah Mahathir-Anwar itu pasti menyedari sentimen tersebut.

Maka persetujuan dan lampu hijau daripada Anwar diperlukan untuk menggerakkan penyatuan antara pembangkang dan BERSATU.

Isyarat pertemuan itu adalah kompromi untuk melupakan sementara dendam peribadi dan persengketaan antara mereka dengan matlamat yang sama, iaitu menyingkirkan Najib.

Hendak berbaik dengan Anwar bermakna Mahathir dan BERSATU perlu berbaik dengan penyokong-penyokong pembangkang juga.

Maka ‘wahyu’ Anwar dari penjara diperlukan Mahathir untuk disampaikan kepada tenteranya di bawah.

Seni segala mungkin

Suatu masa dulu tiada siapa menjangka Anwar akan meninggalkan Abim untuk menyertai Umno dan bukan PAS pada 1982.

Orang PAS kecewa dengan keputusan tersebut, apatah lagi imej dan penampilan Islamik Anwar dan datang dari gerakan Islam.

Keputusan Anwar menyertai Umno kononnya dibuat untuk membersihkan parti itu dari dalam. Sejak itu, karier Anwar sebagai tokoh politik bersinar gemerlapan bak bintang-bintang di langit.

Reputasinya dalam politik Umno mencanak naik. Bermula dengan menewaskan Tun Ghafar Baba untuk jawatan timbalan presiden Umno pada 1993.

Gandingan Mahathir-Anwar ketika itu dianggap pemimpin terbaik di Asia sehingga pembangkang sukar untuk mendapat tempat.

Tidak menghairankan apabila Anwar sangat dicemburui pemimpin PAS. Tidak terkecuali ayam sabungnya ketika itu, Mohamad Sabu atau lebih popular dengan panggilan Mat Sabu.

Ada teori mengatakan semakin cepat naik seseorang ahli politik, semakin cepat pula tiba zaman kejatuhannya.

Apabila berlaku penyingkiran terhadap Anwar, Mat Sabu menyindir dan mengungkit semula keputusan bekas pemimpin Abim itu menyertai Umno.

Satu daripada ayat pedas Mat Sabu berbunyi: Bagaimana mungkin Anwar boleh mencuci tong najis sedangkan dia sendiri berada di dalam tong tersebut?

Kata-kata itu seringkali disebut Mat Sabu dalam ceramah-ceramahnya, sehinggalah detik PAS menyambut salam Anwar dan terlibat bersama-sama dalam gerakan reformasi.

Tiada musuh kekal

Dalam politik, tak ada musuh kekal. Yang ada adalah kepentingan bersama. Ungkapan ini dipetik daripada kata-kata terkenal Henry Kissinger – bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat.

Rumus politik itu mungkin terpakai sejak zaman berzaman sehinggalah sampai kiamat nanti.

Namun dalam pertemuan Mahathir-Anwar, tidak dapat dipastikan siapa yang paling banyak mempunyai kepentingan dan mendapat keuntungan daripadanya.

Sekali lagi, Azmin pasti menyedari perkara itu.

Apapun niat Mahathir, adalah jelas beliau menggerakkan kempen menyelamatkan Malaysia daripada pentadbiran Najib yang didakwanya melakukan penyewelengan dan salah guna kuasa.

Mahu tidak mahu, sebagai tokoh reformasi dan pemimpin berjiwa besar, Anwar perlu menyambut salam Mahathir demi “menyelamatkan negara” dan mengetepikan marahnya kepada bekas perdana menteri itu.

Kini, kedua-dua tokoh itu – sama ada Anwar atau Mahathir sendiri – sudah berada di luar tong najis seperti pernah diperkatakan Mat Sabu.

Anwar sudah meninggalkan Umno hampir dua dekad lamanya, manakala Mahathir sendiri menubuhkan parti baru untuk menentang parti yang pernah didukungnya sebagai presiden selama lebih 20 tahun.

Mat Sabu sudah lama berbaik dengan Anwar, dan yang terbaru duduk sepentas bersama Mahathir.

Sama ada Mahathir atau Anwar sendiri mungkin sudah tidak lagi ‘berselera’ untuk membersihkan tong najis itu dari luar.

Mereka kini nampaknya lebih berminat untuk menukar terus tong tersebut dan menggantikannya dengan tong baru yang lebih bersih dan tidak tercemar.

Apakah mereka berjaya menukarkan tong itu nanti, hanya masa dapat menentukan.
RUSNIZAM MAHAT anggota sidang pengarang Malaysiakini.

.