POLITIK PAS POLITIK MENGADA-NGADA: HUSAM

SHAH ALAM – Pas menunjukkan gaya berpolitik yang pra matang, ragu dan mengada-ngada, kata Penasihat Amanah Kelantan, Datuk Husam Musa.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan polis yang dibuat ke atasnya berhubung dakwaan dana daripada Umno kepada parti Islam itu.

“Hari ini (semalam), Pemuda Pas membuat laporan polis di banyak balai di seluruh negara ke atas saya, ekoran ucapan saya di Selising, 6 Februari lalu.

“Saya tidak nampak apa rasionalnya lebih dari satu laporan polis dibuat. Adakah Pemuda Pas tidak yakin dengan laporan mereka sendiri, sehingga mereka perlu membuat laporan di sana sini?,” soalnya.

Semalam, Pemuda Pas Wilayah Persekutuan dan Kelantan membuat laporan polis terhadap Husam yang didakwa mengatakan parti Islam itu menerima dana RM90 juta daripada Umno.

Laporan dibuat secara berasingan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur dan Pasir, Kelantan.

“Saya berpendapat, kebenaran tidak boleh ditegakkan hanya dengan membanyakkan laporan polis. Ia hanya menunjukkan politik meriam buluh dan bom asap,” ujar Husam lagi menerusi kenyataannya, semalam.

Pemuda Pas Wilayah Persekutuan membuat laporan polis agar Husam disiasat di bawah Seksyen 499 Keseksaan kerana fitnah jenayah.

Di Kelantan, Ketua Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, laporan polis dibuat agar Husam disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menyebar maklumat palsu.

Menurut Husam lagi, Pas sebaliknya turut membuat laporan polis terhadap isu 1MDB yang sekian lama diperkatakan ramai pihak seluruh negara.

“Alang-alang ke Balai Polis, kes-kes salah guna dan penyelewengan wang negara yang merugikan rakyat seperti 1MDB patut juga dilaporkan oleh Pemuda Pas.

“Jika tidak, ia akan menimbulkan pertanyaan sejauh mana Pemuda Pas mengambil berat nasib rakyat dan negara lebih dari mereka dan parti mereka semata-mata. Akan tiba masanya, perbuatan buruk menjelma dan terserlah,” katanya lagi.

– Sinar Harian

.