POLITIK MA63: TUAK LAMA DALAM BOTOL BARU?

KENYATAAN Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia baru-baru ini mencetuskan reaksi yang kurang selesa dalam kalangan penduduk Sarawak dan Sabah. Kata-kata seperti “Sabah dan Sarawak tidak pernah menjadi dua negara berasingan sebaliknya hanya sekadar jajahan British” menguris hati penduduk yang rata-rata pengundi setia Barisan Nasional (BN).

Kata-kata kononnya, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) “tidak penting”, dan kononnya tiada dalil mengatakan Sabah dan Sarawak itu “istimewa” malah ia setaraf dengan negeri-negeri lain di Malaysia juga dianggap seolah-olah meremehkan perjanjian itu.

Menurut laporan media, Pandikar berkata semasa membaca laporan suruhanjaya siasatan membincangkan laporan Suruhanjaya Cobbold 1962, iaitu Inter-Governmental Committee (IGC), beliau “tidak terjumpa dalil mengatakan Sabah dan Sarawak sama taraf dengan Malaya, tidak ada.”

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg pula menolak pandangan dan kenyataan Pandikar tersebut. Lantaran ini, Pandikar mencabar  ketua menteri Sarawak berdebat dengannya.  Cabaran debat ini menambahkan lagi rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat Sabah dan Sarawak.

Suara Putrajaya?

Ada yang melihat usaha Pandikar sebagai “mewakili” Putrajaya. Membuat kenyataan demikian ketika beliau juga adalah speaker Dewan Rakyat ditafsirkan sebagai usaha meneutralkan pemikiran, tafsiran dan persepsi penduduk majoriti Sabah dan Sarawak tentang gerakan dalam menuntut hak yang sesuai dengan pengisian dan pematuhan penuh MA63.

Sebagai speaker Dewan Rakyat beliau mempunyai autoriti besar dan setiap kata-kata yang beliau keluarkan tidak dapat dipisahkan dengan kedudukannya itu.

Maknanya, setiap kata yang beliau ungkapkan mempunyai maksud tersirat dan tersurat daripada aspek wacana politik nasional, politik Putrajaya dan politik federalisme.

Namun sehingga artikel ini ditulis, belum ada reaksi dalam kalangan pemimpin Umno sendiri. Masing-masing cuba menjarakkan diri daripada pandangan Pandikar ini.

Mereka sedar apa-apa yang diungkapkan oleh Pandikar ini boleh jadi bom jangka dan jika meletup kesannya sangat buruk kepada undi Sabah dan Sarawak. Lebih-lebih lagi pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi.

Politik Pandikar

Ada juga yang melihat sikap Pandikar ini lebih kepada untuk menyambung hayat politiknya bertanding dalam Dewan Undangan Negeri atau Parlimen di Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tahun depan.

Sebelum ini, penubuhan NGO iaitu United Sabah Bumis Association (Usbo) digerakkan oleh Pandikar untuk bergerak ke seluruh Sabah bagi menjelaskan isu-isu semasa kepada rakyat Sabah.

Pandikar juga dikatakan sudah menyatakan kesediaannya untuk kembali aktif dalam politik dan ini mencetuskan spekulasi Usbo akan jadi sebuah parti politik.

Namun hal ini sukar jadi realiti kerana populari Pandikar kurang terserlah lebih-lebih lagi kenyataan dan pendirian mengenai MA63 pasti menguriskan hati pengundi untuk memberi undi dan sokongan.

Sudah pasti mana-mana parti politik sukar untuk menerima Pandikar sebagai calon untuk bertanding pada PRU akan datang.

Berdasarkan survei dalam isu Pandikar ini, didapati lebih 80% rakyat Sabah dan Sarawak tidak bersetuju dengan pandangan beliau dan mahukan MA63 dilihat semula daripada pelbagai aspek.

Agak aneh apabila speaker Dewan Rakyat mencabar Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg,  sesama komponen Barisan Nasional untuk berbahas seolah-olah menunjukkan tidak ada kesepakatan dalam komponen BN. – Gambar Facebook, 3 Disember, 2017.
Agak aneh apabila speaker Dewan Rakyat mencabar Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg, sesama komponen Barisan Nasional untuk berbahas seolah-olah menunjukkan tidak ada kesepakatan dalam komponen BN. – Gambar Facebook, 3 Disember, 2017.

Namun kesemua responden bersetuju tindakan ini bukan bermakna menolak konsep federalisme, sebaliknya mengukuhkan baik hubungan antara Sabah Sarawak dan Semenanjung.

Responden dalam kajian ini juga memberikan kredit yang tinggi terhadap sumbangan Perdana Menteri Najib Razak yang terbuka dalam soal autonomi dan hak-hak negeri yang tidak dibuat oleh kepimpinan terdahulu.

Sebenarnya, selepas dilantik menjadi Speakar Dewan Rakyat, Pandikar telah melepaskan jawatan ketua bahagian Umno Kota Marudu sejak tahun 2008.  Beliau juga kini bukanlah seorang ahli Parlimen.

Perlepasan jawatan beliau itu dikatakan untuk menumpukan tugas speaker sepenuh masa. Namun ada yang mentafsirkannya sebagai tindakan politik, sesuai dengan sentimen 16 September 2008 ketika kononnya lebih 30 ahli Parlimen, iaitu 13 daripada Sabah dan 17 ahli Parlimen Semenanjung mahu menyeberang kepada Pakatan Pakatan.

Pandikar pernah menjadi presiden parti Angkatan Keadilan Rakyat (Akar) selepas perpecahan Parti Bersatu Sabah yang ditubuhkan pada tahun 1989. Namun Pandikar bubarkan Akar untuk menyertai Umno.

Komitmen Putrajaya

Apapun motif Pandikar, beliau perlu lebih sensitif dalam mengeluarkan kenyataan kerana rundingan Putrajaya dengan kerajaan negeri Sarawak misalnya sedang berlangsung.

Malah perdana menteri sendiri positif ke arah perbincangan tersebut dan tidak mengenepikan suara-suara Sabah dan Sarawak dalam isu autonomi dan hak-hak lain sesuai dengan menghormati dan pelaksanaan MA63.

Beliau sewajarnya lebih memahami bahawa terdapat perbezaan antara undang-undang dan realiti sejarah yang mempunyai tafsiran tersendiri. Kedua-dua perlu dibezakan kerana realiti sejarah tidak semestinya terpancar dalam undang-undang yang termaktub.

Bagi mencari jalur keseimbangan antara realiti sejarah dan undang-undang, perlu ada persetujuan bersama. Sentimen realiti politik perlu difahami agar tidak terperangkap dalam hanya satu jalur kefahaman. Keterperangkapan di dalam tempurung makna akan menjejaskan pembinaan sebuah negara bangsa dan bangsa idaman.

Pada masa yang sama, sesuai dengan konsep federalisme, kita tidak mahu wujudnya negara dalam negara. Yang penting ialah perlunya menghormati perjanjian yang ada dengan memastikan pelaksanaan  dan pengisian selaras dengan semangat perjanjian tersebut.

Agak aneh apabila speaker Dewan Rakyat mencabar ketua menteri sesama komponen Barisan Nasional untuk berbahas seolah-olah menunjukkan tidak ada kesepakatan dalam komponen BN.

Ia boleh disalahtafsirkan sebagai pertembungan suara antara Putrajaya dan Sarawak walaupun Pandikar tidak diberikan mandat oleh perdana menteri untuk berbuat demikian.

Isu ini lebih bijaksana diselesaikan secara tertutup kerana ia melibatkan kepentingan kerajaan pusat dan kerajaan negeri Sarawak. Kini rakyat di Sabah dan Sarawak perlu diyakinkan bahawa kenyataan Pandikar lebih bersifat peribadi dan bukannya kenyataan rasmi Putrajaya agar tidak dijadikan kempen politik yang akan membawa akibat kepada kejatuhan merudum undi BN di Sabah dan Sarawak pada PRU akan datang.

Hakikatnya, tanpa Sabah dan Sarawak tidak akan wujud Malaysia seperti hari ini!

– https://www.themalaysianinsight.com

.