POLITIK KLIK RUGIKAN PAKATAN HARAPAN

BUDAYA politik klik atau puak ialah satu bentuk perlakuan yang sering terdapat dalam organisasi atau pertubuhan yang dicirikan dengan perbezaan pendapat, tingkah laku politik dan pemikiran.

Klikisme atau factionalisme ialah kewujudan konflik dalam pertubuhan yang ditimbulkan oleh kumpulan yang lebih kecil di dalamnya.

Sering kali pembentukan klik dianggap sebagai cabang daripada suatu kumpulan politik. Klik atau budaya puak juga menandakan adanya kumpulan yang bersaingan idea, kuasa dan bersaing untuk mempengaruhi dan mendominasi politik semasa.

Budaya klik ini boleh memecahbelahkan dalaman parti meskipun idea yang dikemukakan dapat memberikan kebaikan kepada parti dan pimpinan. Keyakinan pengikut parti boleh tergugat dan boleh menonjolkan pergelutan kuasa lebih daripada fokus dasar parti. Lebih-lebih lagi wujudnya politik personaliti yang kurang terkawal manakala pengaruh dan kuasa menjadi taruhan.

PKR dan budaya klik

Budaya klik dalam PKR berlaku sudah lama, namun semakin jelas apabila PKR pertama kali mencipta sejarah setelah menguasai Selangor. Pelantikan Khalid Ibrahim pada awalnya diterima namun kemudian ada usaha meletakkan Anwar Ibrahim sebagai pengganti menteri besar Selangor menyebabkan budaya klik dalam parti itu terpancar jelas.

Langkah Kajang yang dimainkan peranannya oleh Rafizi Ramli selaku pengarah strategi PKR dan Saifuddin Nasution sebagai setiausaha agung PKR pada 2014 tidak tercapai.  Misi untuk menobatkan Anwar sebagai MB Selangor yang kemudian dianjakkan kepada Dr Wan Azizah Wan Ismail juga gagal.

Meskipun Wan Azizah pilihan PKR namun Sultan Selangor memutuskan Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai MB. Sebelum itu, Sultan mahukan beberapa nama calon dan bukan seorang saja untuk dibuat pilihan.

Harga Langkah Kajang mahal hingga Anwar terlucut anugerah Datuk di Selangor. Wan Azizah akhirnya akur kepada keputusan istana. Langkah Kajang juga membawa bibit perpecahan PAS bersama Pakatan Rakyat.

Klik Rafizi dan Azmin

Apabila nama Azmin hanya muncul selepas Sultan menitahkan lebih daripada satu calon dikemukakan, ia sebenarnya melangkaui sempadan kuasa politik PKR. Azmin pula secara politik perlu menguatkan kedudukan dirinya dari segi politik manakala kedudukannya sebagai MB Selangor berupaya menguatkan dirinya sebagai pemimpin masa depan PKR.

Pengalaman luas sebagai MB Selangor kini adalah merit kuat untuk dipertimbangkan sebagai calon perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan menang PRU akan datang. Lebih-lebih lagi beliau pemimpin muda dan kini timbalan presiden PKR.

Sudah pasti, apabila Langkah Kajang gagal, kumpulan yang memulakan langkah tersebut berasa kurang berpuas hati. Jadi, wujudlah klik Rafizi yang juga antara pemimpin masa depan PKR yang dinamik, energetik, berani, bijaksana,  popular dan disanjung ramai.

Pada sisi lain, ruang pertemuan yang berbeza dan dihadiri oleh klik PKR yang berbeza di penjara atau mahkamah dikatakan membawa maklumat politik berbeza dan interpretasi yang juga berbeza.

Aliran pemikiran daripada jenama parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan yang berlainan membawa kepada arah pemikiran berbeza. Aspek ini mengukuhkan lagi pembentukan klik daripada segi pemikiran dan idealisme.

Politik puak

Malah kini sudah dapat disenaraikan secara terperinci dua klik yang berbeza berdasarkan pendedahan Rafizi sendiri dalam satu kenyataan medianya berhubung isu rundingan kerjasama PKR dengan PAS yang menyaksikan pertentangan idea antara ahli Parlimen Pandan itu dengan Azmin.

Kumpulan yang menyokong idea Rafizi ialah Sim Tze Tzin (pengarah strategik), Fariz Musa (ketua setiausaha pengelola), Abdul Hadi Al-Khatab (pengerusi Lembaga Disiplin) dan Christina Liew (pengerusi Sabah), pemimpin exco negeri Abdullah Sani Abdul Hamid, Wong Chen, Rodziah Ismail, Fuziah Salleh, S Manivannan, Gooi Hsiao Loong, Azan Ismail, Dr Idris Ahmad, Dr Azman Ismail, Hassan Karim dan Aminuddin Haron.

Manakala kumpulan yang menyokong Azmin ialah Chua Tian Chang, Shamdul Iskandar dan Xavier Jeyakumar, Dr Shaharuddin Badaruddin, Zuraida Kamaruddin (ketua wanita), anggota biro politik Sivarasa Rasiah, Saifuddin Abdullah, Kamaruddin Jaafar, Fahmi Fadzil (pengarah komunikasi), N Surandren, serta pemimpin utama parti Elizabeth Wong, Hee Loy Sian, Siti Aishah Sheikh Ismail, Mohamad Nur Manuty, Latheefa Koya, Dr Afif Bahardin dan Haniza Talha.

Apabila dapat disenaraikan secara mudah, pasti akan ada persepsi budaya politik peringkat pimpinan tinggi PKR agak ketara dan ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan akar umbi dan rakyat. Di satu sisi lain, pastilah menggembirakan penyokong dan pimpinan Barisan Nasional untuk menang lebih mudah.

Pertembungan idea

Azmin mempertahankan perlu dibuat kerjasama dengan PAS bagi mengelak pertandingan tiga penjuru.  Azmin sedar kerusi MB yang beliau sandang kini atas kerjasama dan sokongan PAS.

Namun Rafizi pula mahu kerjasama tersebut dihentikan dan jika perlu diadakan kongres khas untuk memutuskan sama ada meneruskan kerjasama atau sebaliknya. Anwar pula kelihatan menyokong Azmin dengan memberikan perakuan bahawa Azmin diminta berunding dengan PAS.

Malah isu keanggotaan Majlis Pimpinan Pakatan Harapan juga dikatakan tertunggak gara-gara berlakunya  perbezaan pendapat dua klik dalam PKR.

Persaingan kuasa?

Dalam sains politik, faktor klik muncul apabila persaingan kuasa berlaku, jawatan yang ada agak terhad, ingin lebih berkuasa dan setiap pemimpin sukar untuk tidak terlibat dalam kancah politik klik.

Namun gejala ini boleh membawa perpecahan dalaman parti apabila nanti muncul calon yang menjadi proksi kepada klik, perseteruan secara proksi dan berlakunya sabotaj dalaman parti.

Yang rugi bukannya parti semata-mata, tetapi pasti akan menjelikkan rakyat yang mahukan agenda parti dan Pakatan Harapan terlaksana dan bukannya bertanding untuk kalah besar-besaran pada PRU akan datang akibat factionalisme dalaman parti PKR itu sendiri.