POLITIK KEBENCIAN SUDAH TIDAK RELEVAN LAGI

KLANG – Golongan muda dan belia hari ini mengakui mereka tidak menyokong kepada politik yang menanamkan kebencian sehingga boleh menjejaskan perpaduan di kalangan rakyat di negeri ini.

Ketua Pemuda Umno Shah Alam, Datuk Muadzam Shah Yaakob  berkata, perkara itu didedahkan sendiri oleh golongan muda melalui pertemuan pihaknya bersama dengan NGO muda dan belia khususnya di kawasan Shah Alam.

“Saya akui politik kebencian memang sudah tidak relevan lagi bahkan mereka mengakui lebih melihat kepada pemimpin yang berjiwa rakyat dan yang boleh bantu rakyat tanpa pernah merasa jemu.

“Pada masa sama, mereka semakin sedar bahawa perkara negatif yang dicanang segelintir pihak perlu ditolak kerana ia tidak mendatangkan kesan baik kepada seluruh rakyat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Pemuda Umno Bahagian Shah Alam di Dewan Serbaguna Kampung Kuantan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurutnya, melalui program rumah terbuka itu pihaknya berharap semangat kesepaduan di kalangan rakyat dapat dikekalkan.

“Saya suka untuk kita sentiasa ada kebersamaan dalam apa-apa perkara, jika kita bertelingkah sesama kita umpama ‘menang jadi arang, kalah jadi abu’ ia hanya akan merugikan kita sendiri.

“Jadi kita harus adakan persefahaman, apa yang kurang kita perbaiki dan terus bergerak ke hadapan bersama-sama,” katanya.

Katanya lagi, jangan melihat perkara yang boleh melemahkan sesama rakyat sebaliknya kena bergerak sederap dalam mencapai apa-apa yang diimpikan demi kesejahteraan bersama pada masa hadapan.

– SH

.