POLITIK DAP BAHAYA UNTUK NEGARA

KUALA LUMPUR  – Pas hari ini mengingatkan rakyat bahawa politik yang diamalkan DAP adalah bahaya untuk negara.
Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, hal ini kerana DAP datang dengan ‘tiang-tiang’ baharu menerusi tahap sekular berganda yang boleh menambahkan kehancuran kepada negara.

“Orang bertanya mana bahaya antara UMNO dan DAP. Saya berkata, bahaya UMNO, bahaya dirasai. Bahaya DAP, bahaya menanti. Jadi, hapuskan bahaya dirasai, hilangkan bahaya menanti. Begitulah ubat diciptakan dalam kehidupan menuju kesihatan dan kesejahteraan.
“Rosak negara adalah kerana UMNO membangunkan negara dengan tiang-tiang sekular sejak lama. DAP datang dengan tiang-tiang baharu dengan tahap sekular yang berganda sepuluh yang jelas akan menambahkan kehancuran negara dalam kealpaan rakyatnya nanti, malah PAN adalah contoh awal kealpaan yang nyata,” kata­nya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Mohamad Abduh memberitahu, Pas hampir pasti menolak sebarang kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) selepas kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mengetepikan parti itu bagi meneruskan kerjasama dengan DAP.

Beliau berkata, kenyataan terbaharu bekas Perdana Menteri itu secara tidak rasmi telah menjawab teka-teki hubungan politik antara Pas dengan PPBM.

“Pas tetap serius dengan pendirian untuk menolak DAP dan mana-mana pihak yang mempunyai hubungan dengan parti itu.

“Selepas PAN yang juga ditolak kerana pengkhianatannya terhadap Pas, PPBM semakin dekat atau secara tidak rasminya ditolak oleh parti ini meskipun PKR dan Pas secara serius mengkaji hubungan dengannya,” katanya.

Tambah beliau lagi, persaingan tiga penjuru antara blok politik ketiga oleh Pas dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) hampir pasti berlaku untuk berhadapan dengan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan diketuai DAP.

“Kekuatan Pas untuk bergerak sendiri memimpin blok ketiga adalah nyata. Kerana itu, DAP, PAN, PKR dan PPBM terus-menerus menembak Pas dengan senjata beratnya bahawa parti ini adalah rakan UMNO.

“Tujuannya adalah untuk menidakkan Pas sebagai satu kekuatan dan pilihan terbaik bagi menggantikan BN mahupun Pakatan Harapan diketuai DAP,” jelasnya.

– UTUSAN

.