POLITIK ANARKI HALANG KEBEBASAN BERSUARA

RENCAH utama dalam tindakan politik anarki yang bersifat ganas ini ialah keengganan menerima kebenaran yang dibincangkan di khalayak.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, politik anarki sentiasa menjadi gangguan kepada kebebasan bersuara dan berpolitik yang dibenarkan oleh undang-undang.

“Sukar nak agak punca, mungkin juga sengaja nak ganggu. Taksub pun boleh jadi juga atau tidak mahu sesuatu kebenaran dibincangkan depan khalayak.

“Politik anarki ini boleh menjadi punca kepada tercetusnya demonstrasi dan rusuhan kerana potensi untuk balas dendam antara penyokong parti lawan akan sentiasa ada. Selain menghalang orang bersuara ia juga bertujuan menakut-nakutkan orang lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Nik Ahmad Kamal menegaskan, intimidasi sering digunakan utk mengekang kebebasan bersuara.

“Kita sedang menghampiri era negara berpendapatan tinggi dan memasuki lebih separuh abad. Politik kita seharusnya lebih matang dan lebih ‘gentleman’. Sepatutnya kita boleh terima perbezaan pendapat dan membenarkan hujah lawan. Malah kita seharusnya percaya kepada kedaulatan undang-undang.

“Kalau ucapan yang didakwa mengandungi unsur fitnah kita heret ke mahkamah, jadi jika politik stail anarki ini masih diamalkan di mana minda maju kita? Di mana politik matang kita?” Soalnya.

Tambahnya, dalam erti kata lain,  politik anarki membunuh kesucian demokrasi itu sendiri.

“Masalahnya kita masih lagi menganggap politik itu menjatuhkan lawan politik ikut apa cara pun termasuk secara anarki.

“Ahli politik dan  penyokong mereka hendaklah keluar dari kepompong partisan yang berlebih-lebih sehingga hilang hormat kepada kebebasan memilih dan menyokong parti atau pemimpin pilihan mereka sendiri.

Tegas Nik Ahmad Kamal, kita harus bergerak kepada politik matang iaitu bersetuju untuk tidak bersetuju dengan cara yang bertamadun.

“Politik caci mencaci teleh menjadi akar umbi kerana kita tidak boleh menerima kewujudan kumpulan yang tidak sealiran dengan kita.

“Dalam Islam ada adab bila dua pihak tidak bersetuju, ada garis panduan khusus  yang dipanggil etika bila tidak sefahaman atau ethic of disagreement. Kalau ini diamalkan InsyaALLAH  senario dan suasana politik kita menjadi lebih bertamadun,” ujarnya.

– Sinar Harian

.