POLIS: ZAID IBRAHIM DISIASAT DI BAWAH AKTA HASUTAN

KUALA LUMPUR – Anggota DAP, Datuk Zaid Ibrahim yang didakwa mengeluarkan kenyataan mempersoalkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, akan disiasat di bawah Akta Hasutan dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berhubung kes berkenaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Tabung Prihatin Pengaman, Yayasan Pengaman Malaysia bagi mengumpul dana membantu warga, keluarga dan pesara polis.

Sementara itu, di Shah Alam, Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata satu laporan polis berhubung kenyataan itu telah dibuat di Kuala Lumpur semalam.

“Siasatan berhubung laporan berkenaan akan dilakukan oleh Bukit Aman,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Maulidul Rasul di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Zaid menerusi akaun Twitternya pada Selasa lalu mempertikaikan titah Sultan Sharafuddin yang antara lainnya menegur bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berhubung kenyataan menghina Bugis.

— Bernama

.