POLIS YANG MENYOAL SITI HASMAH ‘TERSIPU MALU’, KATA PEGUAM

SANGAT jelas dua pegawai polis yang dihantar menyoal Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada pagi tadi, berharap mereka berada di tempat lain, kata peguam yang hadir semasa sesi itu hari ini.

Peguam Haniff Khatri Abdulla menyifatkan kedua-dua pegawai polis dari Bukit Aman “tersipu-sipu” dan “malu-malu”.

“Mereka juga memohon maaf. Mereka jelas kelihatan malu dan jelas tidak selesa kerana terpaksa mengambil kenyataan daripada negarawan seperti itu,” kata Haniff kepada The Malaysian Insight.

Terdahulu hari ini, polis menyoal Siti Hasmah mengenai ucapan yang diberikannya pada “Himpunan Ungu”, perhimpunan wanita menentang situasi politik di Malaysia masa kini.

Acara itu diadakan di Kuala Lumpur pada 10 September 2017. Ucapan beliau, yang disiarkan dalam talian, berlangsung selama 5 minit dan 40 saat. Lebih 1,000 orang menyertai perhimpunan itu.

Siti Hasmah kini disiasat kerana didakwa melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012.

Pemimpin wanita dan peguam, bagaimanapun, mengecam tindakan itu dan mempersoalkan mengapa hanya baru sekarang polis menyiasatnya, empat bulan selepas acara itu.

Haniff memberitahu The Insight Malaysia, Siti Hasmah “tenang, terkawal dan memberi sepenuh perhatian” semasa sesi soal jawab.

“Beliau juga berjenaka ketika telefon bimbit pegawai polis dimatikan, dan nada deringnya adalah lagu Hindi. Beliau berkata, ‘Kita boleh mendengar muzik semasa kita bercakap.'”

Dua pegawai itu menyoal beliau selama kira-kira satu jam. Siti Hasmah turut ditemani dua peguam dan seorang pembantu peribadi.

Haniff tidak mengulas mengenai soalan yang ditanya kepada Siti Hasmah tetapi memberitahu beliau menjawab 12 soalan. Selebihnya, Siti Hasmah memberitahu polis akan menjawabnya di mahkamah.

“Pegawai polis itu mungkin malu, tetapi mereka hanya menjalankan tugas. Tetapi secara peribadi, saya masih mendapati ia keterlaluan, pada usia 91 tahun, beliau (Siti Hasmah) terpaksa diseret melalui semua ini.

“Ya, polis diarahkan untuk melakukan ini dan jelas ia adalah untuk menimbulkan rasa takut kepada orang ramai. Jika mereka dapat melakukan ini kepada Dr Mahathir Mohamad, bekas perdana menteri, dan kini isterinya, anda perlu berjaga-jaga,” kata Haniff.

Dr Mahathir, yang juga pengerusi Pakatan Harapan, dimaklumkan pihak polis sedang menyoal isterinya, beliau tidak di situ kerana menghadiri mesyuarat lain.

“Beliau menyerahkan perkara itu kepada kebijaksanaan isterinya dan peguam,” kata Haniff.

Ini adalah kali pertama dalam hidupnya Siti Hasmah disoal oleh pihak polis, kata peguamnya.

“Beliau memberi keterangan di mahkamah sebelum ini, tetapi ia berkaitan kes kemalangan dan rogol ketika masih menjadi doktor pelatih.”

Siti Hasmah bakal mencecah usia 92 tahun pada 12 Julai dan akan meraikan ulang tahun perkahwinannya ke-62 dengan Dr Mahathir pada Ogos ini.

– https://www.themalaysianinsight.com

.