POLIS TERIMA LEBIH 20 LAPORAN SURAT LAYANG, KATA ZAHID

Pihak polis menerima lebih 20 laporan polis berhubung surat layang yang dikatakan dari Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menggesa peletakan jawatan Perdana Menteri.

Zahid berkata, surat itu memalsukan tandatangannya serta menyalahgunakan kepala surat kerajaan, di samping memfitnahnya.

“Saya tidak mahu terlibat tetapi saya dimaklumkan bahawa PDRM sedang melakukan siasatan secara mendalam bersama-sama dengan SKMM untuk melihat punca.

“Saya pasti siapa-siapa saja yang melakukannya akan terima akibat daripada tindakan undang-undang yang dilakukan oleh pihak kerajaan,” katanya.

Surat bertarikh 9 Disember itu diedarkan melalui media sosial dan WhatsApp.

Surat berkenaan dikatakan menggesa ahli-ahli parlimen dan senator BN untuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.

Surat itu juga menyenaraikan kabinet bayangan dengan Zahid sebagai perdana menteri dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai timbalan perdana menteri.

Bagaimanapun, Zahid berkata, surat itu tidak menyenaraikan jawatan mengikut protokol yang betul.

Zahid berkata, surat itu adalah kerja-kerja mereka yang ‘cemburu’ hubungan rapatnya dengan Najib dan cuba memecahkan kedua-dua pemimpin itu.

“Mereka melihat kemesraan saya dengan YAB perdana menteri. Mereka tahu bahawa hubungan kami secara rasmi dan secara peribadi berjalan sejak 1987 apabila Najib ketika itu menjadi menteri belia dan sukan dan ketua pemuda Umno.

“Mereka tahu bahawa jika dua pemimpin utama dapat dipecahkan, maka matlamat mereka akan tercapai kerana mereka amat cemburu dengan perpaduan yang wujud, maka kecemburuan itu adalah dengan melagakan antara dua pemimpin,” katanya.

Bagaimanapun, Zahid enggan membuat spekulasi mengenai pelakunya, dan berkata bahawa beliau tidak tahu sehingga pihak polis menyiasat perkara itu.

Najib menyatakan keyakinan terhadap timbalannya itu semalam, dan mendakwa surat itu adalah usaha pembangkang untuk merosakkan hubungan antara beliau dan Zahid.

MKINI

.