POLIS SINGAPURA SIASAT HUBUNGAN GOLDMAN SACHS-1MDB

SELEPAS menghukum enam jurubank, Singapura kini menyiasat hubungan Goldman Sachs Group Inc. dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB)- dana pelaburan Malaysia yang menjadi tumpuan siasatan dunia berkaitan penggubahan wang haram.

Bloomberg melaporkan hari ini yang Jabatan Hal Ehwal Komersial republik itu, Unit Jenayah Ekonomi Polis Singapura dan pendakwa raya sudah menemubual eksekutif dan bekas kakitangan Goldman Sachs yang bekerja dalam bon yang ditawarkan kepada 1MDB.

Penyiasat juga sedang mencari hubungan syarikat itu dengan ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho yang didakwa Amerika Syarikat sebagai dalang plot merompak berbilion dolar daripada keuntungan bon itu, lapor Bloomberg lagi yang memetik sumber yang mengetahui siasatan itu.

Pertemuan penyiasat dengan bekas dan kakitangan Goldman Sachs adalah sebahagian daripada siasatan jenayah ke atas aliran dana berkaitan 1MDB, kata sumber itu. Walaupun begitu, bank itu tidak menjadi tumpuan siasatan, kata mereka.

Goldman Sachs dan kakitangan serta bekas kakitangannya masih tidak didakwa dengan kesalahan jenayah berkaitan dana itu, yang mencetuskan siasatan di Singapura, Switzerland dan Amerika Syarikat.

Pertemuan itu yang berlaku pada Oktober menambah tekanan kepada bank berpengkalan di New York itu yang berperanan mendapatkan hampir AS$6 bilion untuk 1MDB pada 2012 dan 2013.

Wang itu bertujuan untuk projek pembangunan walaupun pendakwa raya AS mengatakan sebahagian besarnya disonglap oleh pegawai atasan 1MDB dan sekutu mereka.

– https://www.themalaysianinsight.com

.