POLIS SIASAT UGUTAN JAMAL PECAH KEPALA ZAID

POLIS sedang menjalankan siasatan ke atas ugutan terbaru dilakukan Jamal Yunos untuk memecahkan kepala Zaid Ibrahim dengan tukul, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.

Mohamad Fuzi memberitahu The Malaysian Insight melalui panggilan telefon yang polis sudah menerima laporan berhubung tindakan terbaru Jamal di Perhimpunan Agung Umno Hari ini, apabila dia membakar dua kadbod gambar Zaid dan kemudiannya mengugut untuk memecahkan kepala bekas menteri undang-undang itu menggunakan tukul kerana kenyataan Zahid mengenai Sultan Selangor.

Mohamad Fuzi berkata polis akan memutuskan sama ada akan memanggil atau tidak Jamal untuk soal siasat selepas menyiapkan siasatan awal kejadian itu, menambah yang tiada perlindungan polis diberikan kepada Zaid buat masa sekarang.

“Kita tak boleh jaga 24 jam…biar polis siasat Jamal dahulu sebelum putuskan sama ada dia (Zaid) perlukan perlindungan polis atau tidak,” katanya.

Susulan tindakan Jamal itu, Zaid meluahkan kebimbangan yang keselamatan dirinya dan keluarganya terancam menerusi akaun Twitternya dan “berharap ketua polis negara akan jaga keselamatan kami.”

Zaid sebelum ini menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor selepas dia memberitahu Sultan supaya lebih berhati-hati dalam mengkritik Dr Mahathir Mohamad.

Zaid menerusi akaun Twitternya sebelum ini mengatakan:  “Sultan Selangor perlu berhati-hati dengan titah-titah baginda, tiada siapa yang kebal apabila negara terbakar,” mengulas tentang wawancara Sultan dengan akhbar The Star apabila baginda bertitah yang “kemarahan Dr Mahathir boleh membakar seluruh negara.”

– https://www.themalaysianinsight.com

.