POLIS SIASAT RAFIZI LEPAS PERSOAL ‘DERMA’ RM2.6 BILION

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini memberi keterangan kepada pihak polis berhubung kenyataannya mengenai wang RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadi Datuk Seri Najib Razak yang dikatakan oleh perdana menteri sebagai ‘derma’.

Kenyataan yang disiar di blog itu menyentuh penglibatan Prasarana Malaysia Berhad dalam projek kereta api metro di Mekah, Arab Saudi.

Bagaimanapun dalam kenyataan yang sama, Rafizi mendakwa “derma” itu bukan daripada ahli keluarga Arab Saudi seperti yang didakwa sebaliknya daripada wang pembayar cukai Malaysia.

Rafizi yang memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, berkata beliau disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas tuduhan memfitnah dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Saya faham perkara ini sensitif kepada Datuk Seri Najib Razak kerana saya menimbulkan persoalan bagaimana rakyat Malaysia terpaksa menanggung kerugian gara-gara nama keluarga diraja Saudi digunakqn untuk menutup perkara sebenar berhubung wang RM2.6 bilion yang masuk ke akaun perdana menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Najib sebelum ini menafikan sebarang salah laku atau mengambil wang rakyat untuk keuntungan peribadi.

Rafizi berkata beliau menjawab semua soalan yang ditimbulkan oleh pihak polis hari ini dan menjangka akan didakwa dalam masa terdekat.

“Saya yakin saya ada kes yang kukuh di mahkamah nanti,” katanya.

Menurutnya, siasatan itu menambahkan jumlah kes terhadapnya daripada 12 kepada 13 kes.

– M’kini

.