POLIS SIASAT POSTING FB MENGENAI PENANGKAPAN LELAKI BERGELAR DATUK

Polis akan menyiasat posting dalam Facebook berhubung penangkapan seorang bergelar Datuk berkaitan dengan kes pembunuhan setiausaha PKR Cawangan Miri Bill Kayong.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Sarawak Datuk Dev Kumar berkata laporan polis telah dibuat di Balai Polis Sekama di Kuching semalam mengenai posting yang didakwa berbaur fitnah oleh seorang yang menggunakan nama Vernon Aji Kedit.

“Posting ini nampaknya memperkecilkan usaha dan kerja keras yang dijalankan oleh polis untuk menjejaki dan membawa suspek ke muka pengadilan,” katanya.

Beliau berkata polis sedang menyiasat laporan itu atas kesalahan memfitnah mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Menurut beliau, polis Sarawak sedang dalam proses mengenal pasti pemilik akaun tersebut untuk membolehkan dia dibawa untuk disoal.

– Bernama
.