POLIS SIASAT KES PENGUTIP DERMA DITAMPAR

IPOH – Polis menjalankan siasatan terhadap tindakan seorang lelaki menampar pengutip derma di hadapan sebuah bank dekat Kuala Kangsar berikutan viral di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ahmad Termizi Abd Haq berkata pengadu telah membuat laporan polis di Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar Jumaat lalu  kira-kira 9.30 malam, sejam selepas kejadian berlaku.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan serta mengugut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam video berdurasi 50 saat itu, mangsa disoal siasat seorang lelaki yang tidak dikenali selepas meminta derma bagi pembukaan pondok agama dan jualan tanah wakaf.

Lelaki itu mendakwa mangsa menyamar dan menipu orang awam dengan menggunakan nama pihak berkuasa tempatan sebelum bertindak menampar mangsa sehingga mengakibatkan gigi depannya patah.

Netizen di media sosial mengkritik tindakan lelaki itu, namun ada juga yang menyokong kerana aktiviti mengutip derma menggunakan nama agama kini berleluasa  dan harus didedahkan supaya dapat menimbulkan kesedaran dalam kalangan rakyat.

– Bernama

.