POLIS SIASAT KEBAKARAN BUAIAN DI LUAR GEREJA DI IPOH

SEBUAH buaian yang diletakkan di luar Gereja St Michael di Jalan Sultan Idris Shah, di Ipoh dibakar awal pagi semalam, sehari sebelum gereja terbabit menyambut perayaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata polis kini menyiasat kes berkenaan bagi memastikan sekiranya terdapat sebarang salah laku atau unsur jenayah.

Polis turut menyoal siasat beberapa orang saksi termasuk paderi di gereja terbabit.

Mereka kini sedang menunggu laporan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat berhubung punca kebakaran itu.

Buaian terbabit dibina dua tahun lalu oleh masyarakat Orang Asli yang berkunjung gereja berkenaan. Ia digunakan pada musim perayaan Krismas apabila pihak gereja terbabit meletakkan patung di dalamnya sebagai simbol kelahiran Kristus.

Ketika kebakaran itu semalam, buaian berkenaan bagaimanapun kosong.

Pemimpin gereja terbabit yang enggan identitinya didedahkan memberitahu The Malaysian Insight, kebakaran itu hanya disedari kira-kira jam 4 pagi.

Beliau menjelaskan buaian berkenaan diperbuat daripada kayu dan berbumbung atap, yang dibina untuk menunjukkan cara hidup masyarakat Orang Asli.

“Ia merupakan hadiah mereka kepada gereja yang diberikan dua tahun lalu,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai kebakaran itu, dan berkata buaian terbabit berada dalam kawasan gereja.

Pemimpin gereja itu bagaimanapun berkata insiden terbabit tidak menjejaskan perayaan mereka pagi ini.

Sebanyak 19 buah gereja dan beberapa buah masjid menjadi mangsa perbuatan vandalisme sejak keputusan mahkamah berhubung penggunaan perkataan “Allah” dalam akhbar katolik Herald pada 31 Disember 2009.

Tiga gereja di Kuala Lumpur menjadi mangsa serangan dalam tempoh berkenaan. Salah satunya yang mengalami kerosakan teruk adalah di Gereja Metro Tabernacle di Taman Melawati, Selangor yang dibaling bom petrol.

Susulan kejadian itu, polis menahan dua individu yang kemudiannya didakwa di mahkamah.

Polis turut mempertingkatkan kawalan keselamatan di semua gereja selepas insiden terbabit.

Setahun kemudian, polis mengagalkan serangan di Gereja Good Shepherd Lutheran di Jalan Othman, Petaling Jaya, Selangor.

Insiden yang sama turut berlaki di semua gereja di Taiping, Perak dan sekolah katolik yan mana polis menemui molotov koktel. Cat hitam turut dibaling di sebuah gereja di Durian Daun, Melaka.

–¬†https://www.themalaysianinsight.com

.