POLIS SIASAT ADUN DAP DAKWA PKNP BELI AUDI

Polis memanggil Anggota Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi mengambil keterangan berhubung pendedahan mereka berkaitan dakwaan terima bonus dan pembelian kereta mewah oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Ngeh yang juga ADUN Sitiawan bersama ADUN Tronoh, Yong Choo Keong dan ADUN Buntong, A Sivasubramaniam telah membawakan isu tersebut dalam sidang DUN pada November tahun lalu.

Tiga ADUN itu menunjukkan dokumen yang mendakwa Zambry menerima bonus RM115,000 kerana mengetuai syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan kemudiannya mendakwa menggunakan PKNP untuk membeli kereta Audi Q 7 berharga RM620,996.92.

Menurut Ngeh suatu laporan polis dibuat berhubung ‘maklumat bocor’ daripada PKNP pada 20 Disember 2017. Susulan itu beberapa kakitangan syarikat itu telah ditahan polis.

Ketiga-tiga ADUN ini juga dipanggil pihak polis untuk soal siasat kerana membangkitkan isu tersebut dalam sidang DUN.

Zambry, pengerusi PKNP

Ngeh berkata Yong dan Sivasubramaniam dipanggil pihak polis wal hari ini dan polis akan mengambil keterangannya pada tengahari esok.

“Dengan pendedahan itu, beliau (Zambry) agaknya malu. Beliau pengerusi PKNP dan beliau tidak menguruskan syarikat itu dengan baik serta malah memberikan dirinya bonus yang besar.

“Jika anda malu, janganlah beli kereta mewah seperti itu.

“Anda patut meletak jawatan dan merasa malu,” kata Ngeh kepada Malaysiakini hari ini.

Ngeh turut meminta pihak polis agar tidak menganggu atau campur tangan dengan kerja-kerja wakil rakyat dan menambah mendedahkan skandal melibatkan wang awam merupakan sebahagian tugas mereka.

“Jika pihak polis masih mahu campur tangan dalam kerja saya selaku ADUN Sitiawan dan MP Beruas serta kerja-kerja ADUN Tronoh dan Buntong, suatu laporan polis akan dibuat terhadap pegawai yang campur tangan dengan kerja kami,” katanya dalam suatu kenyataan dalam isu yang sama hari ini.

Zambry dilaporkan menafikan Audi Q7 itu milik dirinya tetapi Ngeh berkata beliau membeli kereta itu melalui PKNP.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi pasukan polis Perak berhubung hal ini.

– M’kini

.