POLIS: SERANGAN ‘BOM AIR’ DI GEREJA PJ BUKAN SABOTAJ

Tiga orang cedera selepas terkena serpihan daripada ‘bom air’ yang diubahsuai menggunakan mercun kurang sejam selepas tengah malam tadi.

Ketua polis Petaling Jaya Mohd Zani Che Din berkata kejadian tersebut berlaku di gereja Luther Centre Church di Petaling Jaya, dipercayai dilakukan sekumpulan ‘mat rempit’.

Bagaimanapun, beliau menolak ia perbuatan sabotaj terhadap gereja itu.

“Dipercayai kejadian itu tidak ada kaitan dengan sebarang bentuk kebancian agama,” katanya dalam suatu kenyataan media.

Mohd Zani berkata seorang paderi di gereja itu yang melaporkan kejadian tersebut mendengar bunyi letupan kuat ketika orang sedang meninggalkan gereja itu setelah selesai sesi sembahyang untuk tahun baru sekitar jam 12.45 malam tadi.

Paderi itu mendapati satu pasangan dalam usia 40an melibatkan seorang lelaki dan seorang perempuan serta seorang pelajar Zimbabwe cedera terkena ‘bom air’ itu.

Pasangan itu cedera di belakang dan kening, manakala pelajar terbabit terbakar di dahinya.

Mohd Zani berkata sekumpulan mat rempit dengan lapan motosikal telah melempar ‘bom air’ itu ke gereja tersebut.

“Siasatan awal mendapati terdapat kejar-mengejar di antara beberapa orang Punjabi dan sekumpulan kira-kira 10 orang lelaki Melayu, sebelum kejadian (bom air) itu berlaku.

“Siasatan awal mendapati kejadian itu tidak ada kena mengena dengan mensabotaj gereja Luther Centre Church. Ini kerana ia provokasi antara dua kumpulan motosikal yang secara kebetulan berlaku di hadapan gereja ketika dua mercun itu dilemparkan – satu jatuh di kaki lima jalan sementara yang satu lagi meletup di pintu masuk gereja itu.”

Mohd Zani berkata saksi tidak mampu menyediakan gambaran jelas terhadap kejadian itu kerana ia berlaku secara tiba-tiba dalam keadaan yang gelap.

“Saksi juga tidak mampu menyediakan gambaran jelas berhubung kaum tertuduh yang terbabit memandangkan saksi dan mangsa hanya berkata tertuduh kelihatan seperti orang Melayu dan dikejar oleh seorang atau dua Sikh.

Mohd Zani menggesa pihak yang memiliki maklumat mengenai kejadian itu untuk menghubungi ibu pejabat polis Petaling Jaya di talian 03-9766 2222.

– M’kini

.