POLIS SEDANG KENALPASTI MOTIF KEMATIAN KIM JONG NAM

SHAH ALAM 29 December 2015. Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat. STR/Muhammad Sulaiman

SHAH ALAM  – Polis masih menyiasat motif sebenar kematian Kim Jong Nam yang merupakan abang tiri kepada Presiden Korea Utara, Kim Jong Un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat berkata, buat masa ini pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat bagi mencari punca sebenar kematian Jong Nam sama ada meninggal dunia disebabkan diracun atau sebaliknya.

Bagaimanapun beliau menafikan laporan media bahawa beliau meninggal dunia selepas diserkup dengan kain yang mengandungi cecair oleh suspek memandangkan siasatan mengenai kejadian itu masih lagi dijalankan secara terperinci.
“Buat masa ini masih terlalu awal untuk kita buat kesimpulan mengenai kes kematian Jong Nam termasuklah suspek yang terlibat.

“Kita tunggu dahulu laporan bedah siasat yang dijangka dikeluarkan esok apakah yang menjadi punca kematiannya. Kita juga akan kenalpasti tujuannya datang ke Malaysia, suspek yang terlibat termasuklah motif kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Abu Samah berdasarkan laporan awal, mangsa sebelum itu mendapatkan bantuan petugas lapangan terbang di Aras 3 KLIA sebelum meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Bagamanapun, Abu Samah enggan mengulas lanjut kemungkinan kematian Jong Nam itu tindakan yang dirancang.

Sebaliknya beliau menegaskan mana-mana pihak supaya tidak membuat spekulasi mengenai kes otu selagi siasatan belum selesai.

Hari ini, media melaporkan kematian Jong Nam di KLIA kira-kira pukul 8 pagi semalam ketika sedang berada di balai berlepas untuk menaiki penerbangan ke Macau selepas masuk ke negara ini pada 6 Februari lalu.

– UTUSAN ONLINE.

.